Terus ke JDT atau berpusing ke Sri Pahang?

3,803

Wujud spekulasi tentang pemain muda kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong selepas beliau memuat naik gambar sedang berada di Heathrow Airport di ‘story’ Instagram beliau.

Berdasarkan ‘posting’ tersebut, ramai peminat menjangkakan beliau sedang menuju ke Malaysia untuk memuktamadkan keputusan beliau untuk beraksi di sini.  


Antara destinasi yang dapat dilihat sebagai pilihan utama adalah dua pasukan yang sering dikaitkan dengan beliau iaitu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC.  

Kobe terus dikaitkan dengan perpindahan ke JDT tatkala Pengarah Teknikal pasukan, Alistair Edwards memberitahu bahawa akan berlakunya penambahan empat pemain (dua pemain tempatan dan dua pemain import) ke dalam pasukan tersebut.

Sejak kebelakangan ini, pemain tengah itu juga telah kerap kali disebut sebagai antara ‘target’ utama pasukan selatan tanah air itu termasuk dengan nama-nama lain seperti Jordi Amat serta seorang pemain bintang negara, Azam Azih.

Sebelum ini, pasukan JDT telah berjaya membawa seorang lagi pemain kacukan Malaysia-China, Hong Wan yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Wolverhampton Wanderers di Liga Perdana Inggeris.

Namun begitu, terdapat juga kemungkinan besar untuk peminat bola sepak tanah air melihat Kobe bermain bersama dengan sebuah lagi pasukan ternama negara, Sri Pahang.

Hal ini dapat dilihat menerusi jumlah perbelanjaan perpindahan yang rendah ditunjukkan oleh pasukan Sri Pahang setakat ini.

Sri Pahang ketika ini hanya membawa masuk seorang pemain pinjaman dari Colombia, Steven Rodriguez serta Kevin Ingreso dari Filipina.

Sekiranya perpindahan Azam ke JDT menjadi kenyataan, skuad Tok Gajah dilihat memerlukan seorang pemain tengah box-to-box yang mampu mengatur strategi permainan dan mencipta gerakan berbahaya.

Pada September tahun lalu, Kobe telah menerima kunjungan daripada kerabat diraja Pahang yang turut menyerahkan jersi keramat Harimau Malaya kepada beliau.

Kobe sebelum ini turut disebut-sebut sebagai antara salah seorang pemain yang akan dipanggil oleh Brad Maloney untuk mewakili Harimau Muda ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

Malangnya, hasrat tersebut terpaksa dilupakan kerana proses dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum berlepas.  

Setelah perdebatan yang berlarutan dengan agak panjang, menarik untuk kita lihat apakah destinasi yang akan dipiilih oleh Kobe.