Pinjaman sebagai bayaran pendahuluan perjanjian?

15,497

Terdapat khabar angin mengatakan bahawa satu perjanjian telah dilakukan di antara pasukan Selangor FC dan Terengganu FC untuk musim hadapan.

Perkara ini semakin hangat diperkatakan setelah pemain sayap pasukan Selangor, Nik Sharif Haseefy telah diumumkan secara rasmi sebagai pemain pinjaman pasukan Terengganu kelmarin.


Manakala, pemain Terengganu yang dikaitkan dengan pertukaran ini adalah bintang pasukan mereka, Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Mickey yang kini bersama pasukan kebangsaan menuju ke pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Kontrak Mickey akan berakhir pada hujung tahun ini dan sehingga ke hari ini masih belum ada tindakan yang diambil oleh pengurusan pasukan untuk melanjutkan khidmat beliau.

Mickey merupakan antara tonggak utama pasukan kendalian Nafuzi Zain sejak musim lalu yang turut membantu pasukan mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia.

Beliau yang kini beraksi cemerlang bersama pasukan kebangsaan sering dikaitkan dengan nama-nama besar tanah air dan turut mendapat perhatian daripada ejen bola sepak luar negara seperti Portugal dan Sepanyol.

Keputusan meminjamkan Nik Sharif tampak sebagai sebuah ‘bayaran pendahuluan’ kepada pertukaran yang lebih besar dan dijangka berlaku pada jendela perpindahan seterusnya.

Perkara ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penyokong Terengganu dan Selangor berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan pada masa ini.  

Selangor kelihatan tumpul tanpa kehadiran pemain yang mampu untuk membantu pasukan menghasilkan gerakan merbahaya ketika menyerang.  

Manakala, Terengganu turut buntu selepas tewas dua kali dari empat perlawanan liga dan isu seperti ini pasti akan membuatkan para penyokong berasa gusar tentang masa depan pasukan bola sepak kesayangan mereka.

Namun begitu, kemasukan Nik Sharif ke pasukan tetap dilihat sebagai sebuah penambahbaikan yang diperlukan oleh pasukan Terengganu bagi mengisi kekosongan di bahagian sayap kanan.

Sebelum ini, pemain tersebut sering dikaitkan dengan pinjaman kembali ke pasukan lamanya, Sri Pahang serta Melaka United sebelum memilih Terengganu sebagai destinasi beliau.

Tempoh pinjaman ini boleh dianggap sebagai sebuah langkah yang terbaik untuk Nik Sharif mendapatkan semula prestasi terbaik beliau seperti yang dipamerkan ketika beraksi bersama pasukan Sri Pahang sebelum ini.

Nik Sharif kurang mendapat tempat selepas berpindah ke Selangor pada musim lepas ekoran daripada kecederaan buku lali yang dihadapinya ditambah dengan saingan hebat ditunjukkan oleh pemain sedia ada.

Pemain itu akan dipinjamkan ke skuad Sang Penyu selama 6 bulan dan akan memulakan aksi selepas liga bersambung kelak.