Sasaran ke Piala Dunia? Sedar diri dan layak ke Piala Asia terlebih dahulu
Masihkah anda ingat lagi muka belakang akhbar Berita Harian bertarikh 30 Julai 1999 dahulu?
Bagi peminat bola sepak tempatan, berita bertajuk ‘FAM sasar 2014 layak ke Piala Dunia’ yang terpampang di akhbar itu merupakan satu kegagalan dari segi perancangan buat badan induk bola sepak negara itu.
Ia juga turut menjadi bahan jenaka yang muncul ketika setiap edisi Piala Dunia berlangsung, dan pastinya akan dikenang kembali pada edisi seterusnya di Qatar hujung tahun ini.
Memetik laporan berita tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata pelan induk bola sepak negara itu akan merombak struktur bola sepak negara dengan matlamat untuk menyaksikan Harimau Malaya layak ke Piala Dunia 2014.
Kini, selepas lapan tahun dan dua edisi Piala Dunia kemudian, pencapaian terbaik negara hanyalah berada di pusingan kedua kelayakan kejohanan itu.
Untuk menakluk Asia Tenggara, contohnya dalam kejohanan Piala AFF atau Sukan SEA juga masih sukar buat negara, apatah lagi untuk mewakili benua Asia ke Piala Dunia.
Sejak artikel itu dikeluarkan, kepimpinan FAM sudah berubah sebanyak tiga kali namun apa yang ditampilkan skuad kebangsaan masih sama, atau mungkin lebih teruk.
Pelbagai janji-janji manis yang disuap kepada peminat bola sepak negara dalam bentuk pelan yang gah di atas kertas, contohnya yang terbaru Pelan Hala Tuju atau Roadmap F:30 yang dilancarkan pada 2018.
Tetapi peminat sehingga kini masih menagih kejayaan daripada skuad kebangsaan yang sudah lama rasanya tidak meraih sebarang kejuaraan.
Kita acap kali disuap kehebatan sejarah bola sepak negara satu ketika dahulu tetapi sampai bila kita mahu terus diulit mimpi dengan zaman kegemilangan lalu.
Buat masa ini, lupakanlah sebentar impian ke Piala Dunia dan fokus apa yang ada di depan mata, iaitu untuk layak ke kejohanan Piala Asia 2023, memandangkan ia juga termasuk dalam F:30.
Selepas ini kita harus lebih realistik dan ‘sedar diri’ dalam meletakkan sasaran untuk ke layak Piala Asia terlebih dahulu sebelum mengejar impian ke Piala Dunia.
Sama-sama kita berdoa negara dapat melayakkan diri ke Piala Asia 2023 dan menamatkan kemarau beraksi di pentas itu secara merit.