Liga M3 bakal kembali memperkenalkan pemain import

486

Amateur Football League (AFL) tidak menolak kemungkinan akan memperkenalkan semula kuota pemain import dalam saingan Liga M3 tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL iaitu Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad yang mana beliau tidak dapat mendedahkan bilakah pengenalan pemain import akan diperkenalkan buat masa ini.


“Berkenaan pemain import ini ia bergantung kepada perancangan AFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang mana kita akan duduk berbincang adakah di peringkat amateur ini sesuai untuk memperkenalkan pemain import.

Mungkin sesuai guna pemain import tetapi dari segi jumlah kuota itu akan dibincangkan balik nanti. Ramai yang tak sedar bahawa Liga M3 pada tahun 2019 sememangnya sudah ada pemain import,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mohd Raimi bagaimanapun pihaknya tidak akan tergesa-gesa dalam perkara ini kerana ia perlu dibincangkan secara lebih mendalam lagi sebelum sebarang keputusan dibuat nanti.

Dalam pada itu, selepas dua tahun saingan Liga M3 terpaksa dihentikan akibat pandemik COVID-19, beliau mengakui pihaknya bekerja dengan lebih keras lagi untuk mempromosikan liga amateur ini supaya mendapat sambutan peminat bola sepak tanah air.

Untuk musim 2022, sebanyak 20 pasukan bersaing dalam dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B yang mana Top-4 dari setiap kumpulan akan bermain di peringkat kalah mati dan play-off  untuk naik ke Liga Perdana.

Mengakui pasukan yang beraksi di Liga M3 ini terdiri daripada kelab-kelab kecil tetapi beliau bangga apabila kesemua pasukan yang bertanding masih lagi bertanding dalam saingan liga yang sudah pun memasuki pusingan kedua.

“Ya tidak dapat dinafikan ia tidaklah berjalan lancar seperti yang diharapkan dengan ada beberapa isu seperti masalah COVID-19, gaji dan sebagainya, tetapi Alhamdulillah sehingga kini kesemua pasukan masih lagi mampu meneruskan perjuangan.”

Tambahnya lagi, pihaknya menyedari sambutan terhadap Liga M3 semakin bertambah terutamanya apabila ada beberapa bekas pemain bintang dari Liga Super dan Liga Perdana turut beraksi di Liga M3.

Melihat kepada potensi besar yang ada liga amateur, pada tahun ini pihaknya mahu mengukuhkan lagi sistem pertandingan, perbaiki peraturan permainan supaya setiap pasukan yang bersaing dapat mengikut segala kriteria yang telah ditetapkan.

Pada musim 2023, AFL bukan sahaja akan mengendalikan saingan Liga M3 tetapi juga Liga M4 dan Liga M5.