‘Land of Dawn’ sekali lagi jadi pentas untuk tebus maruah negara
Sebelum ini, pasukan Mobile Legends negara telah gagal membawa pulang pingat di kejohanan Sukan SEA Hanoi.
Skuad negara yang diwakili oleh Todak tewas di perlawanan penentuan pingat gangsa kepada pasukan Singapura yang berlansung dengan cukup sengit.
Pasukan negara akan mendapat peluang untuk menebus kehampaan pada kejohanan Mobile Legends Southeast Asia Cup (MSC) 2022.
Kejohanan ini akan disertai oleh 12 pasukan yang mewakili seluruh negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura dan Filipina.
Malaysia akan diwakili oleh dua pasukan iaitu Todak selaku juara Mobile Legends Professional League (MPL) MY musim kesembilan dan Orange Esports sebagai naib juara.
Todak yang sentiasa cemerlang dilihat sebagai salah satu pencabar utama kejohanan.
Mereka akan dibarisi oleh pemain-pemain seperti Cikugais, 4Meyz, Yums, Momo, Moyy dan Moon yang telah menunjukkan persembahan yang baik sepanjang musim ini.
Cikugais sebagai pemain Jungler pasukan Todak memperoleh 3.83% nisbah KDA pada musim ini ditambah dengan kejayaan Momo menduduki tangga kedua Kill Leader dalam MPL Asia Tenggara dengan memperoleh sebanyak 184 pembunuhan sepanjang musim.
Pada kejohanan MSC sebelum ini, Todak berjaya mara sehingga ke pusingan play-off Lower Bracket sebelum ditewaskan oleh pasukan Bigetron Alpha dari Indonesia.
Pasukan yang memberikan kejutan pada saingan MPL MY kali ini, Orange Esports nyata membuka mata pelbagai pihak terhadap kemampuan mereka hingga berjaya ke pusingan Grand Finals MPL MY musim ini.
Meskipun tewas kepada Todak, Orange Esports tetap menunjukkan kemampuan mereka bersaing dengan pasukan hebat.
Orange Esports yang dibarisi oleh pemain seperti Valenz, Mannn, Gary, Born, Minn dan Lolla mampu memberi saingan meskipun menjadi pendatang baru pada kejohanan MSC kali ini.
Pemain Jungler pasukan, Gary turut berjaya menunjukkan taring beliau apabila berjaya mendapat tempat ketiga dalam senarai Kill Leader di peringkat Asia Tenggara.
Pasukan dari Filipina sebelum ini dilihat lebih mendominasi kejohanan seperti Kejohanan Dunia M (M) di peringkat global dan MSC bagi peringkat Asia Tenggara.
MSC 2021 dimenangi oleh pasukan Filipina, Execration setelah berjaya menewaskan pasukan senegara mereka, Blacklist International di peringkat akhir.
Filipina akan diwakili oleh pasukan RSG PH dan Omega Esports yang beraksi cemerlang pada pusingan MPL PH baru-baru ini.
Saingan yang padu turut diberikan oleh pasukan dari negara jiran, Indonesia yang akan diwakili oleh pasukan ternama seperti RRQ Hoshi dan Onic Esport.
Kedua-dua pasukan ini menunjukkan aksi yang cukup hebat ketika Kejohanan Dunia M3 yang berlansung sebelum ini.
Todak diletakkan bersama Falcon dari Myanmar serta naib juara MPL ID, Onic Esport.
Manakala, pasukan Orange Esports akan bertemu Impunity dari Kemboja dan pasukan dari Singapura, Evos SG.