Beri rumah sebagai ganjaran, kelab sukan lain harus contohi NS Matrix
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Itulah peribahasa sesuai untuk menggambarkan pemain pasukan bola keranjang NS Matrix apabila mereka dihadiahkan sebuah apartmen selepas berjaya meraih Kejohanan Bola Keranjang Piala Agong buat kali keempat berturut-turut.
Hadiah itu disampaikan oleh pengasas Matrix Concept Holding Bhd, Datuk Seri Lee Tian Hock kepada sembilan pemain dan dua jurulatih atas usaha mereka.
Pemberian ganjaran kepada atlet bukanlah satu perkara yang baru dan di peringkat kebangsaan, kerajaan serta badan-badan sukan juga ada mewujudkan ganjaran kepada atlet-atlet yang berjaya mengharumkan nama negara.
Bagi atlet, ganjaran pastinya dapat menambah semangat untuk berusaha dengan lebih kuat, lebih-lebih lagi jika ganjaran yang diberikan mempunyai nilai yang tinggi.
Ternyata apa yang dilakukan oleh Tian Hock mendatangkan hasil apabila kelab itu menjuarai Piala Agong empat kali berturut-turut pada tahun 2016 hingga 2019 walaupun baru sahaja ditubuhkan pada 2015.
Karier seorang atlet kebiasaannya tidak lama, kebanyakan atlet sudah mula menunjukkan penurunan prestasi pada awal 30-an dan ramai yang mengambil keputusan untuk bersara sebelum mencecah umur 40.
Jadi ketika masih aktif, mereka pasti akan bekerja keras mengumpul aset untuk kegunaan selepas bersara kelak.
Lihat sajalah berapa ramai atlet yang terpaksa menebalkan muka untuk meminta bantuan orang awam atau badan kebajikan atlet seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) kerana tidak mempunyai wang selepas bersara.
Mungkin ada pihak yang akan mempertikaikan perkara ini kerana menurut mereka ia membuatkan atlet hanya berusaha bersungguh-sungguh disebabkan ganjaran sahaja.
Tetapi kita harus akui bahawa di zaman moden ini sukan sudah menjadi salah satu perniagaan dan pelaburan seperti itu adalah wajar sekiranya mahu melihat pasukan berjaya.
Dan mungkin kita juga terlupa bahawa sukan adalah satu kerjaya buat para atlet, jadi sudah tentulah wang adalah sesuatu yang amat penting.
Ini juga bukanlah kali pertama Tian Hock memberi ganjaran besar terhadap para pemain dan jurulatih.
Ketika mereka menjuarai Piala Agong itu buat kali pertama, setiap pemain menerima sebuah kereta bernilai RM70,000, dan pada tahun seterusnya mereka dihadiahkan RM100,000 selepas berjaya mempertahankan kejuaraan.
Dengan ganjaran sebesar ini, NS Matrix telah meletakkan satu benchmark yang amat tinggi buat kelab-kelab sukan lain negara ini dalam menghargai pemain-pemain mereka.
Mereka telah membuktikan pemberian ganjaran yang besar boleh mendatangkan kejayaan, mungkin selepas ini lebih banyak kelab-kelab atau badan-badan sukan negara mendapat inspirasi untuk melakukan perkara yang sama.
Tidak salah rasanya untuk menghadiahkan ganjaran yang besar kepada pemain kerana ia secara langsung dapat memberi manfaat kepada pasukan dari segi kejayaan.