Pemain tempatan patut contohi De Bruyne dapatkan lesen kejurulatihan ketika masih bermain

164

Bintang tengah Manchester City, Kevin De Bruyne baru-baru ini telah menerima lesen kejurulatihan A UEFA selepas lulus ujian bersama-sama beberapa rakan senegaranya yang lain.

Antara pemain-pemain yang turut mendapatkan lesen sama seperti De Bruyne adalah Youri Tielemans, Dries Mertens, Jan Vertonghen, Leandro Trossard dan Axel Witsel menerusi satu inisiatif yang dijalankan oleh Persatuan Bola Sepak Belgium pada 2019.


Walaupun beliau merupakan bintang bola sepak dunia dan jadual sehariannya amat sibuk, ia tidak menghalang De Bruyne daripada meluangkan masa untuk melengkapkan lesen tersebut.

Di Malaysia, kita jarang mendengar para pemain mendapatkan lesen kejurulatihan ketika mereka masih sedang bermain.

Mungkin masih ramai yang tidak sedar ia sebenarnya memberi manfaat besar buat kelangsungan kerjaya pemain itu sendiri kerana mereka boleh terus memulakan kerjaya selepas mereka bersara.

Umum mengetahui bahawa karier sebagai pemain bola sepak tidak lama, dan kebanyakan pemain profesional bersara sebelum umur mereka mencecah 40 tahun.

Mendapatkan lesen kejurulatihan ketika sedang bermain dapat menyediakan diri pemain dengan kehidupan selepas bersara.

Sebagai contoh pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak menunggu masa yang lama untuk menceburkan diri dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan selepas bersara daripada bola sepak pada 2016.

Beliau terus menyertai barisan kejurulatihan Pep Guardiola di Manchester City dan dalam tempoh tiga tahun sahaja beliau sudah mengambil alih kelab besar seperti Arsenal.

Kita juga sering disajikan dengan berita mengenai pemain-pemain bola sepak yang terpaksa menagih simpati orang ramai kerana tidak mempunyai wang untuk menyara diri selepas bersara.

Jika para pemain ini terus menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan selepas bersara, mereka tidak perlu memikirkan apa hala tuju mereka selepas bersara.

Selain itu, ia juga baik buat bola sepak negara kerana lebih ramai jurulatih yang dilahirkan dari kalangan mereka yang sememangnya arif dan sudah mengabdikan diri dalam bola sepak sejak sekian lama.

Semoga selepas ini lebih ramai pemain-pemain tempatan yang mengikut jejak De Bruyne mendapatkan lesen ketika bermain.