Saya seorang pemain biasa saja – Arif Aiman

2,982

Pemain sayap sensasi kebangsaan, Arif Aiman Hanapi tidak pernah merasakan bahawa beliau merupakan pemain penting atau key player dalam pasukan.

“Saya bukan pemain key player tapi saya seorang pemain biasa sahaja. Bagi saya semua pemain lain adalah key player dalam pasukan dan bukannya saya seorang saja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Arif berkata demikian apabila ditanya adakah dengan usia yang masih muda terbeban dengan tanggungjawab besar dalam pasukan setiap kali turun beraksi.


Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu telah membantu pasukan Malaysia membenam Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Walaupun aksi persembahannya mendapat pujian ramai, namun pemain berusia 20 tahun ini masih belum berpuas hati dengan permainannya dan akan perbaiki segala kelemahan kerana mahu beri aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Dalam setiap permainan yang saya main, saya mahu berikan persembahan terbaik. Perlawanan malam ini adalah permulaan persediaan saya untuk mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia 2023.”

Dalam pada itu, Arif juga berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah langsung untuk beraksi di peringkat antarabangsa kerana beliau sudah mempunyai pengalaman beraksi di pentas AFC Champions League (ACL) bersama JDT baru-baru ini.

Terdahulu beliau tidak diturunkan ketika Harimau Malaya menentang Brunei yang mana menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya menang 4-0.

Selepas perlawanan menentang Hong Kong, Pan-gon akan membuat keputusan untuk memilih 23 pemain yang akan dibawa untuk saingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di SNBJ bermula 8 Jun ini.