Kami mahu cipta sejarah baru di Kelayakan Piala Asia 2023 – Safiq Rahim

1,256

Pemain kebangsaan Safiq Rahim memberitahu bahawa beliau dan rakan sepasukan dahagakan kejayaan dan mahu mencipta sejarah buat Malaysia untuk saingan Kelayakan Piala Asia 2023.

Safiq berkata demikian selepas perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang mana Harimau Malaya berjaya menumpaskan pasukan Hong Kong 2-0 dengan salah satu gol dijaringkan olehnya.


“Kemenangan malam ini adalah pembakar semangat untuk pasukan. Kami dahagakan kejayaan dan ini adalah peluang untuk kami mencipta sejarah baru kerana kita akan bermain di laman sendiri, jadi kita jangan lepas peluang ini.

Peluang seperti ini tidak selalu datang jadi saya dan rakan sepasukan perlu jalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya kerana kita mahu layak ke Piala Asia 2023,”

katanya.

Pada masa sama pemain veteran Johor Darul Ta’zim (JDT) ini juga menyeru sokongan padu daripada pemain ke-12 iaitu penyokong untuk membakar semangat mereka semasa beraksi pada perlawanan kelayakan nanti.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan menentang Hong Kong, pemain berusia 35 tahun ini bersyukur apabila berjaya menjaringkan gol, tetapi beliau masih lagi kurang berpuas hati dengan keseluruhan aksi yang dipamerkan.

“Alhamdulillah kita dapat keputusan yang baik, tetapi banyak lagi perkara yang kita perlu perbaiki untuk perlawanan akan datang. Perlawanan ini adalah sebahagian daripada persiapan kita untuk perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia 2023.”

Walaupun ketua jurulatih negara Kim Pan-gon masih lagi belum menentukan 23 pemain yang akan terpilih, namun beliau tidak meletak sebarang harapan sebaliknya berkata mana-mana pemain yang terpilih perlu pamerkan aksi terbaik untuk pasukan.

Malaysia akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 pada 8 Jun ini menentang Turkmenistan, Bahrain pada 11 Jun dan terakhir menentang Bangladesh pada 14 Jun.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dipilih sebagai tuan rumah untuk saingan kelayakan.