Persediaan rapi The Rhinos
Seperti yang sedia maklum Pasukan Sabah adalah salah satu pasukan yang rancak memborong pemain bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan. Jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee telah menyatakan skuadnya akan lebih berkualiti dan lebih matang dalam persaingan Liga Super 2022 nanti. Beliau telah mempunyai perancangan yang terperinci untuk pemain yang akan beraksi bersama Sabah. Justeru, pasukan Sabah sedang giat mendapatkan pemain yang diinginkan.
Datuk Ong Kim Swee merupakan bekas Jurulatih Skuad Harimau Malaya bawah 23 tahun yang pernah meraih pingat emas sukan SEA 2009 bersama para pemainnya. Jadi diatas faktor keserasian para pemain yang pernah bersamanya ketika menjadi jurulatih negara skuad B23, beliau segera mendapatkannya seperti Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail, Rizal Ghazali bagi memperkuatkan barisan pemain sedia adanya. Selain itu, pasukan sabah ingin mendapatkan beberapa lagi pemain yang pernah bersamanya seperti Khairul Fahmi dan Hazwan Bakri.
Datuk Ong Kim Swee yang cukup sinonim dengan formasi kegemarannya iaitu 3-4-3 yang telah membawanya meraih beberapa gelaran. Auranya yang tersendiri menjadi tonik para pemain untuk sentiasa beraksi cemerlang di dalam padang. Dengan adanya pemain yang sudah serasi bersama taktikal formasinya, skuad Sabah wajar diberi perhatian dan jangan dipandang mudah untuk ditewaskan.
Skuad Sabah pada musim hadapan akan memberi impak yang hebat dalam kancah Liga Super dengan susun atur taktikal formasi yang menarik oleh jurulatih bersama pemain yang berkaliber sedia ada seperti Amri Yahya dan Thanabalan di samping pemain muda yang kian meningkat naik pastinya cukup untuk menggegarkan gawang pihak lawan.
Sebagai peminat bola sepak tanah air pastinya berasa tertunggu-tunggu untuk melihat aksi The Rhinos dalam Liga Malaysia. Adakah mereka mampu melakukan kejutan seperti KL City FC. Ayuh sama-sama kita nantikan.