Arif Aiman buktikan dirinya layak berada dalam skuad Harimau Malaya

1,174

Pemain muda negara Arif Aiman telah membuktikan pemilihannya adalah tepat apabila beliau mempamerkan aksi permainan yang cukup menarik sepanjang saingan Piala AFF Suzuki 2020 berlangsung walaupun Malaysia tersingkir selepas tewas 1-4 kepada Indonesia pada perlawanan terakhir kumpulan B sebentar tadi.

Sumber foto: FAM Facebook

Arif yang diberi kepercayaan sebagai kesebelahan utama tidak menunggu lama untuk melakukan larian-larian pantas dan berjaya menewaskan beberapa pertahanan Indonesia, namun tiada pemain kebangsaan yang menunggu dalam kotak penalti.


Bagaimanapun selepas skuad kebangsaan menjaringkan gol pada minit ke-13 menerusi rembatan Kogileswaran Raj, skuad kendalian Tan Cheng Hoe mula memperlahankan permainan dan ia memakan diri apabila Indonesia berjaya menjaringkan dua gol menerusi Irfan Jaya.

Sumber foto: AFF Suzuki Facebook

Arif yang dikawal ketat oleh pertahanan lawan bijak memperdayakan pihak lawan terus melakukan larian di sebelah kiri tetapi kandas apabila tiada pemain kebangsaan yang memberi bantuan.

Biarpun beraksi dengan baik, namun Arif telah dikeluarkan pada awal separuh masa kedua untuk memberikan lebih pilihan serangan tetapi gagal mencari sebarang gol.

Walaupun Malaysia tersingkir awal dan gagal ke separuh akhir, namun menerusi kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 ini telah menyaksikan Arif membuktikan kepada semua bahawa beliau adalah seorang pemain berkualiti dan akan terus mendapat tempat dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.