Perlu rombak pemain jika mahu menang dengan Thailand
Barisan hadapan negara perlu diubah supaya lebih tajam di depan pintu gol menjelang perlawanan wajib menang menentang Thailand dalam perlawanan kedua Piala Asia B-23 pada Ahad ini.
Pada perlawanan menentang Korea Selatan, Hadi Fayyadh yang diletakkan di kebelasan utama, dilihat tidak memberikan impak yang diperlukan kepada bahagian serangan pasukan.
Kebanyakan serangan yang dilakukan oleh pasukan negara tampak gagal ekoran daripada larian Hadi yang sedikit perlahan memudahkan pemain pertahanan lawan memintas beliau.
Ketua jurulatih Brad Maloney perlu melihat semula perkara ini dan mungkin mempertimbangkan untuk hanya menggunakan Luqman Hakim dalam kesebelasan utama sebagai lone striker.
Melihat pada kelajuan yang dimiliki oleh Luqman, counterattack mungkin boleh menjadi antara taktikal kejutan yang boleh diguna pakai oleh skuad Harimau Muda.
Selain itu, pasukan negara perlu lebih fokus kepada bahagian tengah dengan memasukkan pemain yang mampu membantu mengawal tempo permainan seperti Umar Hakeem.
Selain daripada hantaran cantik kepada Mukhairi Ajmal untuk jaringan tunggal negara, Nik Akif Syahiran kelihatan buntu dan lebih cenderung berada di bahagian pertahanan berbanding membantu merencana asakan yang berbahaya ke arah lawan.
Taktikal bertahan yang digunakan pada separuh masa pertama kelihatan berkesan namun segalanya berubah apabila berlaku perubahan taktikal pada separuh masa kedua yang menyebabkan kelonggaran berlaku di barisan pertahanan.
Untuk perlawanan seterusnya, pemain pasukan negara perlu memperkemaskan lagi man-to-man marking bagi mengelakkan pemain Thailand bergerak bebas dan mendapat peluang menjaringkan gol seperti yang berlaku pada perlawanan pertama.
Pasukan yang dibimbing oleh Worrawoot Srimaka telah beraksi cemerlang selepas berjaya mengikat pasukan Vietnam 2-2 di minit-minit akhir perlawanan.
Bahagian tengah yang dikemudi oleh Thanawat Suengchitthawon berjaya mendominasi perlawanan dengan 64% penguasaan bola berpihak kepada pasukan Gajah Perang.
Percaturan Worrawoot memanggil 10 oversea players tampak membuahkan hasil apabila Ben Davis yang kini beraksi bersama pasukan Oxford United berjaya menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.
Suphanat Muenta turut menampilkan aksi penyudah yang cemerlang apabila berjaya menanduk masuk hantaran yang dilakukan oleh rakan sepasukannya sekaligus menyelamatkan pasukan Thailand daripada kalah di tangan Vietnam.
Thailand dilihat memiliki kelebihan dari segi kawalan bola serta larian bertenaga dalam mencari ruang sewaktu melancarkan serangan.
Fizikal tidak menjadi ukuran utama, namun tahap stamina kedua-dua pasukan lawan seharusnya dilihat mampu menjadi ancaman sebenar kepada pasukan negara.
Pasukan muda negara perlu meningkatkan kekuatan stamina mereka bagi menghalang asakan yang akan dilakukan oleh barisan serangan Thailand.
Mukhairi Ajmal dan rakan-rakan perlu lebih berdisiplin dan tidak mudah untuk kehilangan rentak seperti yang berlaku pada minit terakhir menentang Korea.
Malaysia kini menduduki tangga terbawah kumpulan dengan berputih mata dan hanya menjaringkan satu gol dan bolos empat gol.