Son buktikan pemain Asia punya kualiti setaraf dengan pemain Eropah
Pemain bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung-min telah menerima anugerah Cheongnyong Medal dari kerajaan Korea Selatan.
Medal Blue Dragon ini merupakan anugerah tertinggi daripada lima anugerah keseluruhan yang diberikan kepada ahli sukan di Korea Selatan.
Anugerah ini juga adalah susulan daripada kejayaan beliau menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris bersama Spurs pada musim ini.
Lebih istimewa, ini adalah pertama kali dalam sejarah pengiktirafan ini diberikan sendiri oleh Presiden Korea Selatan, Yoon Seok-youl.
Kebiasaannya, anugerah seperti ini akan diberikan melalui Menteri yang bertanggungjawab mengurus tadbir bidang sukan negara republik itu.
Son merupakan pemain Asia pertama yang berjaya memenangi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris.
Ramai peminat berang setelah pemain penyerang tersebut tidak disenaraikan sebagai antara calon untuk memenangi gelaran PL Player of the Year.
Yang lebih menarik perhatian para peminat, nama-nama seperti Cristiano Ronaldo dan Harry Kane yang tidak mempunyai musim cemerlang bersama kelab disenaraikan berbanding penjaring terbanyak tersebut.
Ramai beranggapan perkara ini merupakan antara diskriminasi yang berlaku di dalam bola sepak Eropah.
Pemain-pemain yang datang dari benua Asia dan Afrika akan menghadapi kesukaran untuk mendapat tempat dalam anugerah-anugerah berprestij bola sepak seperti Ballon d’ Or.
Diharap agar anugerah yang telah diterima oleh beliau dapat membuka mata orang ramai terhadap perkara ini.
Son kini berada di tanah kelahirannya bagi menjalani latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan bersama pasukan kebangsaan.
Korea Selatan telah tewas 5-1 dalam perlawanan persahabatan menentang Brazil baru-baru ini yang turut dibarisi oleh pemain bintang seperti Neymar, Richarlison dan Philippe Coutinho.
Selepas ini, Korea Selatan dijadual bertemu pasukan Chile, Paraguay dan Mesir sebelum beraksi di Piala Asia Timur EAFF yang akan bermula pada 19 Julai.