Sentuhan Nicol David mampu lahirkan lebih ramai jaguh dunia
Legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David baru sahaja melancarkan satu fasiliti yang diberi nama Nicol David Organisation (NDO).
Fasiliti itu telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam.
NDO adalah satu platform buat kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk memperkasakan diri melalui latihan skuasy dan pembelajaran Bahasa Inggeris melalui program yang dinamakan ‘Little Legends’.
Apa yang menarik, kanak-kanak yang menyertai program itu akan dilatih sendiri oleh Nicol dan berpeluang untuk menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan.
Ini pastinya satu perkhabaran gembira buat arena skuasy negara yang masih tercari-cari pelapis atlet kelahiran Pulau Pinang itu sejak beliau bersara pada 2019.
Setakat ini, dua pemain muda dilihat mempunyai potensi untuk menyambung legasi yang ditinggalkan David iaitu Sivasangari Subramaniam dan juga Aifa Azman.
Sivasangari, 23, merupakan juara termuda bagi kategori wanita dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan Ohana dan ranking ke-19 dunia.
Aifa, 20, yang kini berada di ranking ke-28 pula merupakan pemain Malaysia termuda yang memenangi PSA Tour iaitu pada usia 16 tahun.
Beliau juga berjaya mengejutkan orang ramai apabila muncul juara Terbuka Malaysia 2021 dengan menundukkan pilihan utama dari Mesir, Salma Hany walaupun bertanding atas tiket wildcard.
Dalam sukan badminton, kita sudah melihat legenda negara, Datuk Misbun Sidek berjaya melahirkan seorang jaguh dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei.
Tidak mustahil satu hari nanti ‘sentuhan’ Nicol David berjaya melahirkan seorang permata baru dalam dunia skuasy.
Apa yang pasti, kewujudan NDO ini adalah satu inisiatif yang amat baik buat golongan yang kurang berkemampuan untuk melibatkan diri dalam skuasy dan juga membantu mereka dari segi pelajaran.
Nicol juga dikenali sebagai seorang atlet yang bijak dan merupakan pelajar yang cemerlang terutamanya dalam matematik ketika di zaman persekolahan, jadi tidak hairanlah NDO turut menekankan pelajaran dalam programnya.