Ramai orang cakap group kami senang, tapi kami tak boleh pandang rendah orang – Orange Esports
Diletakkan bersama pasukan Impunity KH dari Kemboja dan Evos SG dari Singapura, ramai menganggap Orange Esports akan berhadapan jalan mudah untuk marah ke pusingan playoff Mobile Legends Southeast Asia Cup (MSC) 2022 yang akan bermula pada 11 Jun ini.
“Ramai orang cakap group kami senang, tapi kami tak boleh underestimate lawan,”
kata pemain Orange Esports, Born kepada Harimau Malaya.
Orange Esports merupakan naib juara untuk Mobile Legends Professional League (MPL) MY S9 sekaligus menjadi wakil Malaysia untuk kejohanan ini mengiringi pasukan Todak.
Selaku pendatang baru, pemain-pemain Orange tetap optimis terhadap kemampuan untuk memberikan kejutan untuk bersaing dengan nama-nama besar seperti Onic Esports dan RRQ Hoshi dari Indonesia.
Pentas MSC 2022 perlulah digunakan dengan sebaiknya oleh pasukan dari Malaysia untuk memperbaiki semula reputasi negara di peringkat rantau ini.
Sebelum ini, Todak selaku wakil negara di temasya Sukan SEA Hanoi gagal mencapai sasaran pingat yang diletakkan.
Namun, perkara tersebut tidak memberi kesan kepada pasukan Orange kerana mereka percaya kegagalan tersebut disebabkan elemen lain dan bukannya kemampuan pasukan Malaysia.
“Sebab venue dekat Vietnam, sambungan Internet sedikit lag menyebabkan pasukan Todak tidak boleh beraksi dengan baik,”
kata Born.
Perlawanan pertama pasukan Orange menentang Impunity KH pasti menjadi antara perlawanan menarik untuk ditonton.
“Dengan performance yang kita ada sekarang, saya rasa kita boleh menang ketika menentang Impunity KH dengan 2-0.”
Selepas tamat kejohanan MPL MY S9, pasukan ini terus giat menjalani latihan menerusi beberapa siri scrim untuk meningkatkan keserasian dan mencuba strategi yang boleh digunapakai semasa kejohanan.
Mereka juga telah menyediakan strategi istimewa selaku senjata utama mereka di medan perlawanan.
Selaku tuan rumah, pasukan dari Malaysia dilihat akan memiliki kelebihan bagi meraih sokongan daripada peminat Mobile Legends di negara ini.
“Support dari fans memang penting, mereka boleh bagi kami semangat semasa on stage atau off stage.”