Dominic tak gentar fizikal Turkmenistan, yakin pemain ‘kerdil’ negara ada kelebihan tersendiri

1,473

Pertahanan kebangsaan, Dominic Tan tidak gentar akan kelebihan fizikal yang dimiliki pemain Turkmenistan dan merasakan ia tidak akan memberi pengaruh yang besar dalam perlawanan nanti.

Menurut pemain Sabah FC itu, walaupun beberapa pemain negara mempunyai fizikal yang lebih kecil, kebolehan individu yang dimiliki tidak harus dipandang rendah.


Bagi Dominic, beliau yakin pasukan negara telah pun bersedia untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan bermula pada 8 Jun ini.

“Walaupun pemain Turkmenistan dari segi fizikal lebih besar berbanding kita, permain kita pun mempunyai kelebihan sendiri.

Mungkin pemain seperti Akhyar Rashid dan Faisal Halim mempunyai fizikal yang lebih kecil berbanding mereka, tetapi bagi saya ianya bukan masalah,”

katanya.

Beliau juga percaya ketua jurulatih, Kim Pan-gon pasti ada perancangan terbaik buat pasukan negara menghadapi Turkmenistan nanti.

Dengan dua perlawanan persabahatan terakhir yang berpihak kepada Harimau Malaya, Dominic percaya pasukan negara berada dalam landasan terbaik dan mental pemain berada dalam keadaan baik.

Tambahnya lagi, para pemain tahu ini adalah perlawanan kelayakan dan akan memberi yang terbaik bukan sahaja dalam perlawanan menentang Turkmenistan malah dalam semua perlawanan dan menyasarkan untuk mencatat tiga mata dalam semua perlawanan.

Mengenai peluangnya dalam kesebelasan utama, Dominic berkata beliau percaya Pan-gon mempunyai perancangan terbaik buat pasukan.

“Saya percaya jurulatih akan membuat pilihan yang terbaik bagi mendapatkan keputusan yang terbaik dalam kempen kelayakan ini.

Walaupun saya tidak dipilih dalam kesebelasan utama nanti, saya percaya pemain-pemain lain yang dipilih mampu menggalas tugas dengan baik.”

Malaysia akan bertemu Turkmenistan dalam perlawanan Kumpulan E pada Rabu depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.