Brad Maloney masih belum tahu nasibnya selepas Piala Asia B-23
Ketua jurulatih skuad B-23 negara Brad Maloney masih lagi belum pasti dengan nasibnya selepas pulang dari Uzbekistan apabila tersingkir awal dari Piala AFC B-23 walaupun masih berbaki satu perlawanan kumpulan.
“Saya masih belum tahu dan perkara ini akan dibincangkan dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila kami pulang nanti,”
katanya.
Maloney berkata demikian selepas ditanya samada beliau akan terus bersama skuad Harimau Muda untuk kelayakan Sukan Olimpik selepas ini.
Dalam perlawanan kedua semalam skuad Harimau Muda tewas 3-0 di tangan Thailand sekaligus menyaksikan mereka tersingkir selepas kalah dalam dua perlawanan.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan menentang skuad Gajah Perang, Maloney mengakui pada mulanya merasakan pemain-pemainnya mengawal permainan tetapi akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan.
“Kami mengawal permainan dalam tempoh 20 minit pertama, bagaimanapun apabila kami bolos pada minit ke-23 kami terpaksa mengejar dan ia telah membawa padah. Ia satu situasi yang sangat mengecewakan. Tetapi kita perlu beri kredit pada pasukan Thailand yang beraksi dengan lebih baik.”
Pada masa sama pengendali dari Australia itu juga menjelaskan bahawa tindakannya membawa keluar penyerang Luqman Hakim bukan kerana pemain itu mengalami kecederaan serius sebaliknya ia membuat pertukaran taktikal.
“Saya membuat beberapa pertukaran selepas kami ketinggalan. Kami perlu bermain dengan lebih terbuka untuk mengejar permainan tetapi. Ia lebih kepada penukaran taktikal.”
Terdahulu pasukan negara tumpas 4-1 di tangan Korea Selatan pada perlawanan pertama.
Malaysia akan bertemu dengan Vietnam dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 8 Jun ini sebelum pulang ke tanah air.