Bukan peminat saja yang kecewa, saya sendiri lagi kecewa – Presiden FAM

3,226

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui kecewa dengan persembahan Harimau Muda di Piala Asia B-23 yang sudah tersingkir awal biarpun mempunyai satu lagi perlawanan kumpulan.

Hamidin berkata demikian selepas skuad kendalian Brad Maloney tumpas 3-0 di tangan Thailand sekaligus menutup peluang mereka untuk sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan.


“Sudah tentu bukan peminat sahaja yang kecewa, saya sendiri lagi kecewa dengan FAM tetapi biarlah saya komen nanti selepas dapat laporan daripada Maloney sebelum kita buat tindakan yang sewajarnya demi bola sepak negara,”

katanya.

Tambahnya lagi, buat masa ini beliau enggan memberi komen lanjut kerana merasakan tidak adil buat jurulatih dan pemain kerana mereka masih mempunyai satu lagi perlawanan menentang Vietnam pada 8 Jun ini.

Pada perlawanan pertama mereka bermula dengan langkah kiri apabila tumpas 4-1 dengan gergasi Asia dan juga juara bertahan, Korea Selatan.

Anak buah Maloney yang diharap dapat membuat kebangkitan menentang Thailand nyata meleset apabila ia tidak menjadi kenyataan.

Sebelum ini skuad B-23 menjadi sandaran apabila FAM meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke suku akhir sama seperti pada edisi 2018, tetapi telah menarik semula sasaran itu sebelum pasukan kebangsaan terbang ke Uzbekistan.

Dalam pada itu, selepas kegagalan skuad Maloney, penyokong kini beralih meletak harapan tinggi kepada skuad senior kendalian Kim Pan-gon pula yang akan menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 8 Jun ini.

Skuad Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan E bersama Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh.

“Saya telah bertemu dengan pemain dan pegawai skuad kebangsaan dan saya tak nak mereka dibuai mimpi dengan dua kemenangan dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini. Kemenangan dengan Brunei dan Hong Kong adalah suntikan moral buat pemain tetapi Kelayakan Piala Asia 2023 adalah peperangan yang sebenar.” kata Hamidin.

Malaysia akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 pada 8 Jun ini menentang Turkmenistan, Bahrain pada 11 Jun dan terakhir menentang Bangladesh pada 14 Jun.