Kim Pan-gon harap dapat bermain dalam keadaan padang yang baik menentang Turkmenistan
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon berharap agar mereka dapat bermain dalam keadaan padang yang baik apabila menentang Turkmenistan pada perlawanan pembukaan saingan Kelayakan Piala Asia 2023 Rabu ini.
“Saya berharap kita akan dapat bermain dalam keadaan padang yang baik. Kita akan cuba buat yang terbaik dan akan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan padang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pan-gon berkata demikian selepas ditanya samada beliau bimbang dengan kondisi padang memandangkan pada sebelah petang Bahrain dan Bangladesh akan turun beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Isu kualiti padang menjadi perhatian penyokong selepas dua perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 baru-baru ini ketika menentang Brunei dan Hong Kong.
Dalam pada itu, pengendali Harimau Malaya itu teruja untuk memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 selain berkata pemain-pemainnya juga sudah bersedia untuk memberikan aksi yang terbaik untuk negara.
“Kami akan pilih untuk mengawal dan mendominasi permainan untuk menang. Kami memang akan bermain dengan taktikal yang berbeza tetapi corak permainan kami akan sama iaitu cuba mengawal dan mendominasi untuk mengutip tiga mata.”
Pada masa sama Pan-gon menegaskan bahawa beliau akan mengekalkan taktikal permainan berintensiti tinggi cuba untuk mendominasi serta mengawal perlawanan untuk cuba meraih tiga mata pertama.
Beliau juga mengekalkan sasaran asalnya iaitu untuk mengumpul tujuh mata bagi memastikan skuad negara mampu melepasi peringkat Kumpulan E untuk mencerahkan peluang mereka untuk ke Piala Asia 2023.
Pan-gon mengesahkan bahawa dua tonggak pasukan, Safiq Rahim dan Akhyar Rashid mengalami kecederaan ringan tetapi tidak membimbangkan dan kedua-dua pemain itu berkemungkinan akan diturunkan esok.
Sementara itu, pemain pertahanan negara Dion Cools enggan memikirkan soal fizikal pasukan lawan yang lebih besar sebaliknya beliau dan rakan sepasukan mahu memberikan persembahan yang terbaik untuk memenangi perlawanan esok.
“Sejujurnya saya tidak peduli dengan keadaan pasukan lawan kerana apa yang penting adalah kami fokus dengan permainan kami untuk menang (menentang Turkmenistan).”
Pada masa sama beliau tidak menolak kemungkinan perlawanan pada malam esok akan menjadi perlawanan fizikal berikutan kelebihan fizikal yang ada pada pasukan lawan.
Cools juga berkata esok akan menjadi momen yang penting buatnya untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Beliau bagaimanapun berkata ia tidak akan menjejaskan persembahannya kerana fokusnya adalah untuk memberikan aksi yang terbaik untuk pasukan.
Malaysia akan menentang Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 9.00 malam.