Kedah Darul Aman terkesan, Terengganu FC gah

321

Pasukan Kedah yang menamatkan di kedudukan kedua dalam Liga Super tahun ini harus berputih mata setelah kehilangan kedua-dua penyerang import mereka. Iaitu Kpah Sherman dan Kipre Tchetche. Dua penyerang ini merupakan nadi jentera serangan pasukan Kedah Darul Aman dalam memburu gol selama dua musim berturut-turut. Kpah Sherman selaku penyerang utama pasukan Kedah yang telah mencatatkan 19 gol dalam Liga Super sepanjang beraksi bersama Kedah.

 Selain itu, Kipre Tchetche juga memainkan peranan yang penting untuk melakukan kerja-kerja bantuan mendapatkan gol dengan bantuan sebanyak 18 kali. Tidak dilupakan juga Kipre juga turut menyumbang jaringan kepada pasukan Kedah sebanyak 17 gol. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa Kpah dan Kipre merupakan tunjang utama pasukan Kedah menghasilkan gol. Lebih separuh daripada jumlah jaringan gol yang pasukan Kedah peroleh dalam Liga Super dijaringkan oleh Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.


 Pemergian mereka adalah kerugian besar buat pasukan Kedah dimana mereka harus mencari pengganti yang lebih berkualiti jika ingin bertanding secara kompetitif dalam Piala AFC nanti. Tugas berat menanti Aidil Sharin bagi mencari dan mendapatkan pemain yang boleh menyesuaikan diri dengan cara permainannya. Justeru perpindahan dua pemain ini ke Terengganu amat mengguris hati para peminat Hijau Kuning.

Sumber Foto : Kedah Darul Aman FC Official

Bagi Pasukan Terengganu pula, Kedatangan Kpah Sherman Dan Kipre Tchetche seperti memberi sinaran baru untuk mereka dalam memburu kejuaraan Liga Super pertama mereka. Kpah dengan rekod cemerlang selaku penjaring terbanyak untuk pasukan Kedah musim lepas tenyata merupa pembelian berbaloi. Nafuzi Zain sudah pastinya mempunyai resepi tersendiri dalam membawa Terengganu mengharungi musim hadapan.

Terengganu FC merupakan pasukan yang kerap kali memberi persaingan yang kuat terutama sekali untuk perebutan tempat “Top 3” sambil dibarisi pemain yang berkaliber seperti Faisal Halim, Faiz Nasir dan Nik Akif. Kedatangan Kpah Sherman sudah pasti akan menambah sengat Skuad Sang Penyu ini. Serta kepulangan Kipre Tchetche ke Terengganu FC amat disukai oleh bekas rakan sepasukannya itu.

Apabila kembalinya Kipre yang cukup sinonim dengan pasukan Terengganu ini pasti mampu memberi ramuan yang terbaik untuk Nafuzi Zain menempa nama dalam kancah Liga Super akan datang. “Chemistry” yang sudah ada pada Kpah dan Kipre yang telah main bersama dari tahun 2020 sudah pasti akan ditagih oleh Skuad Nafuzi Zain untuk memberikan Sang Penyu gelaran pertama Liga Super.

Sumber Foto : Terengganu FC Official