Indonesia pilihan tepat Malaysia selaku tuan rumah bersama Piala Asia 2023

717

Indonesia dilihat negara yang berpotensi untuk Malaysia pilih sebagai tuan rumah bersama Piala Asia 2023.

Seperti Malaysia, pasti Indonesia ingin menjadi salah satu pasukan yang layak beraksi di pusingan akhir kerana sudah berapa edisi Piala Asia, pasukan Garuda mahupun Harimau Malaya, tidak layak secara merit.


Jika Malaysia dan Indonesia dipilih menjadi tuan rumah bersama, ia akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara automatik. Ini adalah kelebihan yang diberi oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepada tuan rumah.

Kelebihan yang diberi ini akan menyaksikan kedua-dua pasukan ini dapat beraksi di pentas berprestij tertinggi Asia.

Walaubagaimanapun, pasukan Harimau Malaya tidak boleh mengharapkan tiket automatik sebagai tuan rumah sahaja, sebalik perlu buktikan mereka masih boleh layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023 menerusi saingan kelayakan yang akan bermula esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Masalah venue perlawanan tidak akan timbul jika melibatkan dua buah negara yang menjadi tuan rumah.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar pernah mengeluarkan kenyataan secara peribadi bahawa Malaysia sukar untuk menjadi tuan rumah kerana perlu menyediakan minimum empat stadium menepati kriteria AFC.

Selain itu, dengan penganjuran bersama Piala Asia ini, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia akan lebih erat dan baik.

Malah kedua-dua negara ini mempunyai penyokong yang sangat setia dan utuh memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Dengan kehadiran penyokong yang ramai, pasti suasana meriah mampu membangkitkan semangat pemain.

AFC dalam kenyataan terbaru telah membuka bidaan kepada mana-mana negara untuk menjadi penganjur bersama Piala Asia 2023.

Keputusan ini dibuat apabila Persatuan Bolasepak China (CFA) menarik diri selaku tuan rumah baru-baru ini.  

Menurut AFC, tempoh persiapan yang singkat untuk menyediakan lapan hingga sepuluh stadium perlawanan telah membuatkan pihaknya bersetuju membuka bidaan untuk penganjuran bersama ini.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Piala Asia pada 2007 bersama Thailand, Indonesia dan Vietnam.