Malaysia kena elak jadi mangsa ‘senjata rahsia’ Bangladesh
Bangladesh akan menjadi lawan terakhir pasukan negara di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada 14 Jun ini.
Menurut ketua jurulatih Muktijoddha Sangsad KC, Raja Isa Raja Akram Shah yang merupakan jurulatih pertama dari Malaysia yang berkelana ke bumi Bangladesh, taktikal dan corak permainan pasukan kebangsaan Bangladesh tampak tidak berubah secara drastik meskipun telah berlaku perubahan dua ketua jurulatih dalam masa terdekat.
“Falsafah jurulatih sekarang dan sebelum ini masih sama iaitu low defending dan counterattack’. Sistem Bangladesh tidak banyak berubah, cuma pertahanan mereka dilihat semakin berdisiplin,”
kata Raja Isa kepada Harimau Malaya.
Liga Bangladesh merupakan liga kedua terbaik di rantau Asia Selatan selepas Liga India dan ini menunjukkan kualiti pemain yang beraksi di dalamnya.
Jurulatih yang arif tentang corak permainan Bangladesh itu turut memberitahu kelebihan negara tersebut yang perlu diberikan perhatian oleh pasukan Malaysia kendalian Kim Pan-gon.
Berdasarkan taktikal yang digunakan oleh kelab-kelab di Bangladesh, mereka gemar penggunaan set-piece untuk menyerang.
“Throw-in adalah sebahagian daripada taktikal menyerang di liga ini kerana kebanyakan pasukan di Liga Bangladesh mempunyai pakar lontaran panjang.”
Pasukan Malaysia sebelum ini belum mampu memenangi perlawanan menentang Bangladesh melebihi tiga jaringan serta ada beberapa siri perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri.
“Motivasi ini akan membuatkan pemain Bangladesh lebih bersemangat untuk menentang Malaysia berbanding menentang Bahrain dan Turkmenistan untuk mengekalkan rekod ini.”
Oleh itu, Kim Pan-gon perlu segera menyiapkan mental serta fizikal anak buahnya menjelang perlawanan menentang Bangladesh kelak.
Pasukan kendalian Raja Isa, Muktijoddha Sangsad KC kini berada di tangga ke-11 liga selepas 15 perlawanan.