Bilakah kita akan jumpa pengganti Mokhtar Dahari?
Kejayaan bintang Argentina, Lionel Messi meledak lima gol pada perlawanan persahabatan menentang Estonia tempoh hari berjaya melonjakkan namanya ke tangga keempat penjaring antarabangsa terbanyak sepanjang zaman dengan 86 gol mengatasi Ferenc Puskas.
Messi juga menghampiri rekod 89 gol milik legenda negara, Datuk Mokhtar Dahari yang dicatatkan dalam 142 penampilan dari 1972 hingga 1985, dan mungkin akan dapat memintas ‘Supermokh’ dalam beberapa perlawanan lagi.
Saban tahun, lebih ramai pemain yang akan terus mendaki ranking tersebut serta mengejar rekod milik Mokhtar, dan satu hari nanti tidak mustahil namanya terkeluar daripada senarai 10 teratas.
Antara pemain yang masih aktif yang berpotensi untuk memecahkan rekod Mokhtar ialah pemain UAE, Ali Mabkhout dan pemain India, Sunil Chhetri yang memerlukan sembilan gol untuk menyamai rekod Mokhtar.
Apa yang menyedihkan ialah tiada langsung pemain negara ketika ini yang dilihat berpotensi untuk memecahkan rekod itu, malah untuk menghampiri jumlah itu juga amat jauh.
Ketika ini, pemain negara dengan jaringan yang paling tinggi ialah Safawi Rasid dan Safiq Rahim dengan 16 gol, diikuti Norshahrul Idlan Talaha (14), Syafiq Ahmad (9), Akhyar Rashid (7) dan Mohamadou Sumareh (6), tetapi kesemua mereka masih jauh daripada rekod yang dicatatkan Mokhtar.
Sebelum ini, ramai juga peminat yang menyuarakan mengenai ketandusan penyerang berkaliber yang mampu mengetuai barisan serangan tengah negara.
Kali terakhir Malaysia mempunyai seorang penyerang berbisa mungkin ketika zaman kegemilangan Safee Sali, itu pun beliau masih jauh dengan rekod yang dicatatkan Mokhtar.
Mungkinkan kita akan melihat seorang lagi ‘Supermokh’ dilahirkan daripada generasi ini?
Rekod dicipta untuk dipecahkan dan diharapkan satu hari nanti ada anak tempatan yang mampu memecahkan rekod Mokhtar.