Brad Maloney tidak mahu pulang dari Uzbekistan dengan tangan kosong

684

Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Brad Maloney memberitahu beliau dan pemainnya enggan pulang dari bumi Uzbekistan dengan tangan kosong walaupun sudah tersingkir dari saingan kumpulan Piala Asia B-23.

Untuk perlawanan ketiga dan terakhir, skuad Harimau Muda akan bertemu dengan Vietnam Rabu ini sebelum pulang ke tanah air.


“Objektif utama kami adalah untuk beraksi dengan lebih baik. Kami mahu bawa pulang sesuatu dari perlawanan esok iaitu tiga mata,”

katanya.

Maloney akan membuat beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama.

“Kami akan membuat sedikit perubahan pemain kerana terdapat beberapa pemain yang keletihan dari dua perlawanan terdahulu selepas melihat GPS data pemain, oleh itu kami akan menukar beberapa pemain dalam kesebelasan utama.”

Maloney pada masa sama turut mendedahkan bahawa beliau masih tidak dapat pastikan samada penyerang Luqman Hakim akan diturunkan dalam perlawanan menentang Vietnam atau tidak berikutan sebelum ini pemain itu terpaksa ditukar awal ketika menentang Thailand kerana mengadu mengalami kecederaan di perut.

Dalam pada itu, jurulatih dari Australia itu percaya anak buahnya akan berjuang habis-habisan pada perlawanan esok untuk mengubati kekecewaan mereka.

“Mereka dahagakan kejayaan, jadi saya yakin mereka akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan ‘ganjaran’ itu.”

Terdahulu pasukan negara tumpas dalam dua perlawanan ketika menentang Korea Selatan 4-1 dan 3-0 di tangan musuh tradisi Thailand.