6 Perlawanan di padang yang sama, saya rasa sukar untuk percaya – Ketua jurulatih Bahrain
Ketua jurulatih Bahrain, Helio Sousa sekali lagi mengkritik kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas perlawanan pertama Kumpulan E yang menyaksikan pasukannya berjaya menang 2-0 dengan Bangladesh.
Walaupun berjaya mengutip tiga mata, namun Sousa sekali lagi menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap padang selain mempersoalkan mengapa perlawanan tidak dilakukan di dua venue berbeza.
“Enam perlawanan di padang yang sama, saya rasa sukar untuk percaya. Jika mereka mahu permainan berkualiti, mereka sepatutnya menggunakan dua stadium dan perlu dijalankan pada waktu yang sama.
Bagi saya ia tidak logik. Dengan keadaan di sini (Malaysia) yang kerap hujan, keadaan padang akan menjadi lebih teruk untuk perlawanan kedua dan juga perlawanan seterusnya,”
katanya.
Beliau bagaimanapun berkata pemain-pemainnya perlu menyesuaikan dengan apa jua keadaan.
Dalam pada itu, Sousa meluahkan rasa gembiranya apabila mereka berjaya menang pada perlawanan pertama kerana baginya adalah penting untuk mereka memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan langkah kanan.
Malah beliau juga berpuas hati dengan aksi persembahan anak buahnya yang berjaya menghalang pemain-pemain Bangladesh dari melakukan serangan.
“Kami tahu Bangladesh sangat berbahaya dalam set-piece dan juga throw-in jadi pertahanan kami berjaya mengawal barisan pertahanan dengan begitu baik sekali apabila kami tidak memberi mereka ruang langsung untuk membuat serangan balas.”
Dalam perlawanan sebentar tadi, Bahrain menguasai hampir keseluruhan permainan berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan jaringan itu kekal sehingga ke wisel penamat.
Selepas Bangladesh, Bahrain akan berdepan dengan tuan rumah Malaysia pada 11 Jun ini.