Keadaan padang di sini agak berbeza tetapi kami tiada masalah sesuaikan diri – Kapten Bahrain
Kapten pasukan Bahrain, Sayed Mohammed Jaffer mengakui keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berbeza dengan padang kebiasaannya tetapi tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri.
Sayed berkata walaupun beraksi dalam keadaan padang yang baru buat mereka, para pemain tetap menampilkan aksi yang memberangsangkan untuk menumpaskan Bangladesh 2-0 pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 hari ini.
“Apa yang boleh saya katakan banyak perkara baru yang kami hadapi bermain di sini contohnya keadaan padang yang berbeza berbanding apa yang kami ada di Bahrain.
“Namun kami tetap berjaya menyesuaikan diri dan menampilkan aksi yang baik,” katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau juga bertekad mahu meraih enam mata dalam perlawanan seterusnya menentang Malaysia dan Turkmenistan.
Pemain berusia 36 tahun itu juga menegaskan pasukannya perlu memperbaiki cara permainan mereka untuk beraksi sebagai satu pasukan selepas ini.
Beliau berkata perlawanan seterusnya menentang Malaysia akan menjadi satu cabaran buat Bahrain dan mereka tidak boleh memandang rendah kepada kemampuan pemain negara.
“Sudah tentu kami akan turun pada setiap perlawanan untuk mendapatkan tiga mata tetapi kami harus meningkatkan perlawanan kami setiap kali kami bermain.
“Saya sendiri mahu menang semua perlawanan dalam kumpulan ini cuma kami harus fokus satu demi satu perlawanan.”
Bahrain bakal menentang Malaysia pada 11 Jun ini sebelum mengakhiri kempen kelayakan menentang Turkmenistan pada 14 Jun.