Tidak mahu terus mendabik dada, kekal fokus untuk perlawanan seterusnya – Safawi Rasid

858

Pasukan kebangsaan Malaysia mempamerkan aksi yang cukup memberansangkan pada perlawanan pertama Kumpulan E pada Kelayakan Piala Asia 2023 apabila mereka berjaya tewaskan Turkmenistan 3-1.

Pemain sayap negara, Safawi Rasid yang menyumbang satu gol enggan berasa selesa dan mendabik dada, sebaliknya beliau mahu terus mengekalkan momentum ini dan berharap agar rakan sepasukan juga tidak terus hanyut diulit kejayaan hari ini.


“Mungkin hari ini kita menang, orang sanjung, tapi bila kalah orang akan kutuk. Kita akan teruskan persembahan seperti ini pada perlawanan seterusnya

Bagi saya, itu adalah salah satu gol semangat untuk saya dan pasukan untuk mendapatkan gol seterusnya

Kemenangan pada hari ini akan menjadi motivasi untuk perlawanan menentang Bahrain Sabtu nanti,”

katanya.

Aksi bertenaga skuad Harimau Malaya hari ini menyaksikan anak buah Kim Pan-gon mula melancarkan serangan bertali arus sejak wisel pertama ditiupkan dan mereka berjaya memperolehi dua gol dalam tempoh 20 minit pertama.

Bagaimanapun kesilapan mudah yang dilakukan barisan pertahanan negara telah dihukum apabila pemain Turkmenistan berjaya merapatkan jurang.

Tersentap dengan gol itu, pemain negara menggandakan asakan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol ketiga yang juga gol kemenangan.

“Kita tidak boleh lalai selepas ini dan perlu perbaiki segala kelemahan kerana kita ada perlawanan penting menentang Bahrain pada Sabtu ini.”

Bahrain dilihat sebagai salah satu pasukan pilihan dalam Kumpulan E menepati ramalan apabila mereka mudah membenam Bangladesh 2-0 pada perlawanan di sebelah petang tadi.

Dalam pada itu, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu melihat pemain negara semakin serasi dengan taktikal yang diterapkan oleh pengendali dari Korea Selatan itu.

Meskipun asakan pasukan negara kelihatan sedikit menurun pada babak kedua, namun pemain tetap berjaya mengekalkan prestasi terbaik mereka sehingga ke akhir permainan.

Terdahulu, Safawi membuka akaun jaringan skuad negara seawal minit ke-11 diikuti oleh jaringan daripada Faisal Abdul Halim dan La’Vere Corbin-Ong untuk melengkapkan malam gemilang Harimau Malaya.

Pasukan negara perlu terus mengekalkan prestasi terbaik apabila menentang Bahrain nanti supaya misi layak ke Piala Asia 2023 secara merit tercapai.