Piala AFF medan ujian pertama buat Osmera selaku ketua jurulatih baru B-17

1,389

Kejohanan Piala AFF B-17 yang bakal berlangsung pada 31 Julai hingga 14 Ogos 2022 depan di Bogor, Indonesia akan menjadi medan ujian pertama buat Osmera Bin Omaro selaku ketua jurulatih baru skuad B-17 Malaysia.

Meletakan sasaran ke separuh akhir, Osmera sangat optimis dengan kemampuan pemain-pemainnya merealisasikan sasaran itu.


Walaupun masa yang tinggal kurang sebulan, Osmera percaya pasukan kendaliannya mampu memberi aksi terbaik.

“Pemain yang dipilih ini merupakan mereka yang bermain di Piala Belia dan mempunyai prestasi yang terbaik. Saya telah bersama mereka hampir dua tahun dan tahu dengan kebolehan mereka.

Bagi pemain dari pasukan Akademik Mokhtar Dahari (AMD), mereka baru balik dari Eropah dua minggu lepas dan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab di sana. Ia merupakan sesuatu yang bagus, pemain kita bermain dengan cukup baik,”

ujar Osmera.

Beliau turut menyuarakan keyakinan pasukannya akan mempamerkan aksi terbaik, malah percaya bakat yang dimiliki oleh pemain B-17 ini adalah jauh lebih baik dari pasukan lain.

Selepas Piala AFF, fokus seterusnya buat pasukan B-17 ini adalah kelayakan Piala Asia 2023 yang mana Malaysia diundi bersama Indonesia selaku tuan rumah perlawanan kelayakan, Palestin dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Sasaran untuk Piala Asia 2023 yang diletakan kepada B-17 adalah layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Bahrain.

Osmera yang juga merupakan bekas ketua jurulatih AMD ini akan dibantu oleh Amirizwan Taj Tajudin, V.Kavichelvan dan Efendi Abd Malek selaku pembantu jurulatih.

Pengumuman ini dibuat oleh pengurus pasukan, Christopher Raj Aralanthu semasa sidang media barisan kejurulatihan skuad Harimau Muda B-17 di Wisma FAM.

Seramai 37 pemain dipanggil menyertai pemilihan pasukan B-17 untuk mengisi 23 slot akhir permain.

27 pemain yang dipanggil dari pasukan AMD,  pasukan B-16 JDT seramai tujuh orang, pemain dari Global Talent dan Red Bulls New York serta pasukan dari Private Academic (PLD) masing-masing seorang.