Daripada buang masa ambil naturalisasi, lebih baik fokus kepada pemain warisan
Selain daripada kejayaan pasukan Malaysia pada perlawanan semalam menentang Turkmenistan, negara jiran Indonesia dan Hong Kong turut membuat kejutan dengan mengalahkan lawan masing-masing di perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia 2023.
Pemain naturalisasi kedua-dua pasukan memainkan peranan yang cukup penting selaku tunjang kepada kejayaan ini.
Yang paling menarik perhatian adalah persembahan oleh pemain naturalisasi Indonesia, Marc Klok yang berjaya membuka akaun jaringan pertamanya bersama Garuda.
Namun, situasi sebaliknya dapat dilihat di kem Malaysia apabila pemain naturalisasi bergelut untuk menjadi kesebelasan utama dan menampilkan persembahan terbaik.
Penyerang Guilherme de Paula dan pemain sayap Mohamadou Sumareh adalah antara contoh pemain naturalisasi yang belum menunjukkan sebarang impak sepanjang beraksi bersama pasukan kebangsaan.
Meskipun Malaysia memenangi perlawanan, tetapi perlu diakui bahawa sumbangan pemain-pemain ini berada di tahap yang mengecewakan.
Pada perlawanan menentang Turkmenistan, De Paula dan Sumareh yang dimasukkan pada babak kedua kelihatan seperti buntu dan tidak serasi bersama pemain yang lain.
Rasanya sudah tiba masa untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beralih kepada alternatif seterusnya untuk memperbanyakkan pemain warisan yang lebih berkualiti berbanding naturalisasi.
Hal ini terbukti apabila pemain warisan lebih menonjol dan berjaya mempamerkan aksi cemerlang setiap kali diturunkan bersama pasukan kebangsaan.
Pemain warisan seperti La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies dan Dion Cools menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam memastikan pasukan negara mencapai kemenangan demi kemenangan.
Selain daripada beraksi cemerlang, Matt Davies merupakan antara ‘pemain luar’ yang sentiasa menunjukkan contoh yang baik apabila sentiasa menyanyikan lagu ‘Negaraku’ sebelum perlawanan.
Perkara sebegini mungkin terlihat kecil, namun ia jelas menggambarkan tahap kecintaan pemain tersebut kepada negara yang diwakili.
Sejak kebelakangan ini, semakin ramai pemain berdarah campuran telah dikenal pasti di luar negara dan rata-rata daripada mereka masih muda serta mampu beraksi untuk jangka masa yang lama.
Antaranya adalah Nooa Laine yang sedang beraksi bersama pasukan SJK Seinajoki di Liga Finland dan Kobe Jae Chong yang baru dilepaskan oleh pasukan Peterborough United FC dari Liga Inggeris.
Kedua-dua pemain ini turut menyatakan hasrat mereka beraksi untuk skuad kebangsaan.
Hanya tinggal peranan yang perlu diambil oleh badan bertanggungjawab untuk menyelesaikan proses dokumentasi dengan segera.
Sikap sambil lewa dalam menguruskan proses ini mungkin akan membuatkan kita kehilangan pemain berkualiti seperti pemain yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal.
Pemain tengah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Nathaniel Wan Shio Hong, yang lebih dikenali sebagai Hong Wan juga merupakan antara contoh pemain warisan yang kini beraksi di liga Malaysia.
FAM selaku badan induk bola sepak negara perlu lebih proaktif dalam memanfaatkan peluang ini dan berhenti melakukan usaha yang sia-sia.
Kurangkan pemain yang sekadar gah pada nama dan segera bawa masuk pemain yang mampu memberi impak positif kepada pasukan bak kata pepatah ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’.