Penyokong OKU boleh masuk SNBJ secara percuma untuk tonton perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023

1,807

Selepas lebih dua tahun tiada perlawanan bola sepak antarabangsa, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kembali bergegar dengan sorakan penyokong apabila Malaysia menjadi tuan rumah untuk Kelayakan Piala Asia 2023.

Ia telah mencetuskan keterujaan ramai peminat bola sepak tanah air yang mahu turun ke stadium untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya termasuklah penyokong daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).


Bagi penyokong yang memegang kad OKU, mereka boleh masuk dengan percuma tanpa perlu membeli tiket seperti penyokong biasa.

Perkara tersebut telah disahkan oleh pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut memaklumkan bahawa pengiring kepada penyokong OKU akan turut dibenarkan masuk secara percuma.

Mereka bagaimanapun perlu membawa kad OKU dan masuk melalui pintu khas yang disediakan oleh OKU.

Jadi diharap dengan penjelasan ini akan membuatkan lebih ramai penyokong OKU akan turut sama turun ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan kebangsaan yang bersaing untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Semalam skuad kendalian Kim Pan-gon telah mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya menumpaskan Turkmenistan 3-1.

Dalam satu lagi perlawanan di sebelah petang, Bahrain mudah menewaskan Bangladesh dengan 2-0.

Pada 11 Jun ini Malaysia akan bertemu dengan Bahrain dalam perlawanan kedua dan pada 14 Jun ini mereka akan bertemu dengan Bangladesh dalam perlawanan terakhir.

Jadi ayuh Ekor Harimau Malaya, kita penuhkan SNBJ untuk beri sokongan padu buat pemain agar mereka dapat memperoleh kejayaan.