Tiada alasan untuk kami tidak menang – ketua jurulatih Bahrain
Ketua jurulatih Bahrain, Helio Sousa memberitahu bahawa pemainnya akan memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan kedua Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Malaysia Sabtu ini.
Menurut Sousa, tiada alasan untuk mereka tidak memperoleh kemenangan walaupun sebelum ini mengakui berdepan pelbagai isu termasuk kualiti padang.
“Tiada alasan untuk kami tidak menang esok. Kami sudah membuat persiapan rapi untuk menentang Malaysia.
Kami tidak boleh gunakan alasan untuk tidak beraksi dengan baik, sebaliknya pemain perlu sesuaikan diri dalam apa jua keadaan, sama seperti pasukan lain,”
katanya.
Sousa berkata, dengan persembahan yang dipamerkan oleh skuad kendalian Kim Pan-gon ketika menentang Turkmenistan, beliau mengharapkan satu aksi persembahan yang cukup menarik sepanjang 90 minit nanti.
Dalam pada itu, pengendali dari Portugal itu yang ditanya samada berasa pasukannya akan bermain di bawah tekanan berikutan berdasarkan ranking mereka berada jauh lebih tinggi berbanding pasukan Malaysia, beliau berkata mereka tidak berasa tertekan langsung.
“Ranking lebih tinggi tidak beri kami tekanan langsung kerana apa yang penting adalah untuk kami memberikan aksi persembahan yang menarik dan akan cuba menang dalam setiap perlawanan.”
Pada masa sama Sousa juga mengakui pasukan Harimau Malaya mempunyai sedikit kelebihan apabila bermain di laman sendiri dengan sorakan padu puluhan ribu penyokong yang bertindak sebagai pemain ke-12 nyata memberi kesan positif buat pemain tuan rumah.
Terdahulu pada Rabu lalu, Bahrain telah membuka tirai saingan Kumpulan E dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh sekaligus berkongsi mata bersama Malaysia dengan tiga mata.
Bahrain akan menamatkan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada 14 Jun ini.