Cukup berkhidmat untuk peminat, kini tiba masa untuk jaga rakyat
Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah mengundurkan diri daripada menguruskan urusan pasukan JDT dan akan menyerahkan tugasan tersebut kepada pengurusan tertinggi kelab tersebut.
Situasi ini mendapat perhatian ramai ditambah dengan komen yang diberikan oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati peminat.
‘Tiada angin, tiada ribut’, perkara ini jelas menimbulkan persoalan di kalangan pencinta bola sepak tanah air tatkala situasi tampak sangat baik bagi pasukan JDT.
Ini kerana, lebih separuh daripada pemain yang mewakili negara di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 merupakan pemain dari pasukan selatan tanah air itu.
Ditambah dengan kejayaan pasukan tersebut melayakkan diri ke pusingan kalah mati saingan AFC Champions League (ACL) sebelum ini.
Dari sisi positif, pengunduran baginda adalah untuk memberi fokus kepada tanggungjawabnya kepada rakyat negeri Johor.
Sebagai seorang kerabat diraja, telah menjadi tanggungjawab baginda untuk sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya.
Sebelum ini, TMJ telah terlibat dalam banyak aktiviti kemanusiaan di sekitar Johor bagi membantu individu yang kurang bernasib baik.
Baginda turut bertanggungjawab melantik peguam ternama dan berpengalaman bagi membantu kes perbicaraan membabitkan kes penderaan seorang remaja down syndrome, adik Bella.
Sebagai seorang pencinta bola sepak, baginda juga semakin giat mengambil inisiatif bagi menambahbaik infrastruktur sukan tersebut bukan sahaja di negeri Johor malah di serata Malaysia.
Baginda sebelum ini menyatakan hasratnya untuk memberi dana bagi membantu membaik pulih keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ini bukan kali pertama TMJ membuat keputusan untuk meninggalkan kelab bola sepak itu, namun pengunduran kali ini boleh dilihat sebagai sebuah perkara yang positif.
Semenjak baginda mengambil alih pasukan JDT, peningkatan yang ketara dapat dilihat hasil daripada sentuhan yang dilakukan olehnya.
Kenangan manis menjulang trofi Piala AFC pada tahun 2015 di samping kejayaan menjuarai Liga Super lapan kali berturut-turut merupakan antara sumbangan terbesar TMJ kepada JDT.
‘Patah tumbuh, hilang berganti’, adinda baginda, Tunku Tun Aminah telah diberikan kepercayaan selaku penyambung legasi yang akan terus menguruskan hala tuju pasukan JDT.
Pengunduran baginda bukanlah sekadar ‘lepas tangan’, malah baginda melakukannya selepas berjaya menjalankan bertanggungjawab untuk mengukuhkan struktur pasukan JDT.
Kemasukan tenaga pakar luar seperti Pengarah Teknikal, Alistair Edwards serta ketua jurulatih pasukan yang mempunyai Lesen UEFA Pro, Benjamin Mora merupakan antara bukti komitmen baginda yang tinggi dalam mengangkat status kelab tersebut.
Perkara yang sama berlaku sewaktu baginda mengumumkan untuk melepaskan tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) kepada Datuk Hamidin Mohd Amin dan Stuart Ramalingam.
Walaupun hanya memimpin untuk tempoh masa yang singkat, TMJ telah berjaya membantu mengstrukturkan semula kedua-dua badan tersebut sebelum membuat keputusan untuk berundur.
Jelas kelihatan bahawa baginda bukan sekadar seorang yang leader gemar mempamerkan kejayaannya tetapi juga seorang yang berkerja keras untuk mencapai matlamat tersebut.
Meskipun sering terpalit dengan kontroversi, tidak dapat disangkal bahawa peranan yang dimainkan baginda cukup besar bukan sahaja kepada pembangunan pasukan JDT tetapi turut membawa kesan yang mendalam kepada bola sepak negara.
Walaubagaimanapun, pengunduran ini dilihat tidak memberi kesan yang besar kepada keseluruhan struktur pasukan JDT kerana baginda masih kekal sebagai pemilik selaku pemegang saham terbesar.
Selaku bakal pewaris takhta, tindakan yang dilakukan oleh baginda adalah tepat bagi memastikan tanggungjawabnya dalam menjaga kebajikan rakyat negeri Johor terlaksana.
Sementara itu, JDT akan berhadapan ujian getir menentang Urawa Red Diamonds dari Jepun di pusingan 16 terbaik ACL selepas ini.