Saya tak akan komen mengenai prestasi pemain saya – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menegaskan bahawa beliau tidak akan memberi komen mengenai prestasi individu, sebaliknya perkara itu hanya akan dibincangkan oleh barisan kejurulatihan sahaja.
Pan-gon berkata demikian selepas diminta untuk mengulas mengenai kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol negara Farizal Marlias yang telah memberikan sepakan penalti sekaligus menyebabkan Malaysia tumpas 2-1 di tangan Bahrain.
“Saya tak akan komen mengenai prestasi pemain saya. Perkara ini hanya akan dibincangkan oleh barisan kejurulatihan. Malam ini pemain saya bergelut untuk bermain dalam keadaan padang yang tidak berada dalam keadaan baik.
Tetapi saya tidak boleh jadikan ia sebagai alasan kerana pasukan Bahrain juga bermain dalam keadaan sama,”
katanya.
Beliau berkata skuad Harimau Malaya sepatutnya membawa pulang satu mata walaupun selepas Bahrain berjaya menyamakan kedudukan, tetapi kesilapan yang dilakukan telah menyebabkan mereka pulang dengan tangan kosong.
Dalam pada itu, Pan-gon juga berkata pertukaran lima pemain dalam kesebelasan utama pada malam ini sebenarnya sudah dirancang.
“Pertukaran pemain ini adalah taktikal yang sudah dirancang untuk pertemuan dengan Bahrain kerana pemain akan berasa letih apabila bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari.”
Pada masa sama, Pan-gon juga berterima kasih kepada kesemua penyokong termasuk Ultras Malaya yang datang untuk memberi sokongan padu kepada pemainnya.
Sementara itu, beliau berkata ketika ini bukanlah masanya untuk pemain berasa kecewa dengan kekalahan, sebaliknya fokus untuk perlawanan seterusnya.
“Pemain tak patut kecewa. Mereka perlu pandang ke depan, yakin dan fokus untuk perlawanan seterusnya. Itulah cara seorang pemain profesional. Kami akan cuba capai sasaran untuk layak ke Piala Asia 2023.”
Pada 14 Jun ini, Malaysia akan bertemu dengan Bangladesh dalam perlawanan ketiga dan terakhir Kumpulan E dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang mana skuad negara perlukan kemenangan jika mahu layak.