Kami masih ada peluang ke Piala Asia, cuma jangan lakukan kesilapan bodoh – Khuzaimie Piee

9,575

Pertahanan kebangsaan, Khuzaimi Piee percaya Malaysia akan melangkah ke Piala Asia 2023 walaupun tewas kepada Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 malam tadi.

Pemain Negeri Sembilan FC itu berkata para pemain harus mengelakkan daripada melakukan kesilapan bodoh yang menjadi punca kekalahan kepada Bahrain.


Beliau berkata berdasarkan keputusan kumpulan lain, Malaysia masih lagi mempunyai peluang untuk ke Piala Asia sekiranya dapat menewaskan Bangladesh pada perlawanan terakhir.

“Ada beberapa kesilapan yang kami lakukan tadi contohnya lambat tutup ruang yang membuatkan Bahrain berjaya jaringkan gol.

Sekarang ini kami harus terus fokus untuk perlawanan seterusnya dan mengharapkan Turkmenistan dapat mencatatkan kemenangan ke atas Bahrain,”

katanya.

Beliau tidak mahu menyalahkan pengadil atas gol pertama Bahrain yang terhasil ketika pemain sayap, Mohamadou Sumareh mengalami kecederaan dan terbaring di atas padang.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru penyokong untuk hadir ke stadium pada perlawanan ketiga dan terakhir menentang Bangladesh 14 Jun ini.

Sementara itu, beliau memuji komitmen yang diberikan para pemain dan barisan kejurulatihan negara.

“Secara keseluruhan semuanya dah berikan lebih daripada 100 peratus dan apa yang boleh kami lakukan seakarang adalah fokus untuk perlawanan seterusnya.”