Parking SNBJ ditaburi paku
Dalam keghairahan penonton untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), ada yang mengambil kesempatan melakukan kerja khianat.
Ada pihak mengambil kesempatan dengan meletakkan paku di atas jalan di kawasan parking untuk mencari duit lebih dengan cara mudah dan kotor.
Kejadian berlaku ketika perlawanan antara Malaysia menentang Bahrain, Sabtu lepas yang mana paku-paku tersebut diletakkan di sekitar tayar yang akan mengakibatkan tayar pancit.
Perbuatan khianat ini bertujuan untuk mengaut ke untungan dengan mudah apabila mereka akan menawarkan khidmat menarik kereta untuk dihantar ke bengkel.
Mereka yang melakukan perbuatan ini telah menyasarkan perlawanan pada hari Sabtu lalu kerana yakin jumlah penyokong meningkat kerana perlawanan diadakan pada hujung minggu dan ianya perlawanan tumpuan, pasti mereka akan mendapat untung banyak.
Perbuatan tidak bermoral ini mengundang kemarahan penyokong-penyokong Harimau Malaya. Satu posting oleh peminat bolasepak di laman sosial Facebook, mengutuk keras perbuatan menabur paku ini.
Menurut hantaran di laman Facebook beliau; “Orang yang buat kerja ini, memang tiada otak, tiada kerja, tabur paku dekat tempat parking. Buat orang susah. Berhati-hati kepada semua penonton yang meletakkan kenderaan di parking kawasan letak kereta.”
Mengenakan caj bayaran pada mulanya RM5 dinaikkan ke RM10, amatlah tidak berbaloi jika kejadian sebegini masih berlaku dalam kawasan parking berbayar.
Pihak yang terlibat terutama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) perlu meningkatkan kawalan keselamatan bukan hanya tertumpu diperkarangan stadium dan dalam stadium sahaja.
Bahagian keselamatan perlu diletakkan di kawasan parking kerana tidak semua penyokong yang hadir ke stadium menaiki pengangkutan awam.
Jika ingin penyokong memenuhi stadium setiap kali perlawanan melibatkan pasukan negara, setidak-tidaknya aspek keselamatan penyokong terutama di kawasan parking perlu dititik beratkan.
Tidak hanya mengharapkan penyokong sahaja memenuhi stadium, pihak pengurusan juga harus menjaga penyokong setia skuad Harimau Malaya ini supaya kedua-dua pihak dapat manfaat “win-win situation”.
Pesanan kepada semua penyokong yang akan menyaksikan perlawan antara Malaysia dan Bangladesh pada esok berhati-hati terutama yang membawa kenderaan dan meletakkan kenderaan di parking SNBJ.