Isu padang SNBJ, sampai bila nak tuding jari?

800

Pada Sabtu lalu, negara terpaksa menanggung malu apabila menjadi bahan ketawa peminat bola sepak luar negara disebabkan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang amat teruk ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain.

Sudahlah air yang bertakung mencacatkan pemandangan dan kelancaran perlawanan, gelagat beberapa pekerja stadium mengeluarkan air daripada padang menggunakan penyodok sampah menambah lagi rasa geram penyokong yang hadir ke stadium malam itu.


Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru saja mengeluarkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Januari lalu untuk pembangunan bola sepak negara sepatutnya memberi satu tamparan buat pihak yang bertanggungjawab.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah meminta supaya perlawanan itu ditunda selama 30 minit bagi memberi masa untuk sistem perparitan padang berfungsi dengan lebih baik.

Namun perkara itu tidak sepatutnya berlaku sejak dari awal lagi sekiranya penilaian risiko (risk assessment) telah diambil kira dan dirancang dengan teliti oleh pihak berwajib.

Lihat sahaja pasukan Johor Ta’zim (JDT) yang menggunakan kanvas untuk menutup permukaan padang di Stadium Larkin ketika tidak digunakan bagi menjaga kualiti rumput.

Lagipun, siapa yang boleh menjamin sekiranya perlawanan ditangguhkan selama 30 minit keadaan padang akan menjadi lebih baik dan bukannya lebih teruk?

Sebelum bermulanya Kelayakan Piala Asia ini pun cuaca sudah tidak menentu di Kuala Lumpur, jadi pihak berwajib sepatutnya sudah bersiap sedia untuk menghadapi perkara ini.

Persoalan utama yang timbul pada malam itu adalah, siapa yang mengarahkan pekerja-pekerja stadium untuk mengeluarkan air daripada padang menggunakan penyodok sampah?

Jika difikirkan secara logik, penggunaan penyodok sudah tentu akan menyebabkan keadaan padang bertambah teruk.

Tidak malukah satu dunia mentertawakan negara kerana menggunakan alat tersebut untuk membuang air ke luar padang?

Bukannya tidak ada alat yang dicipta khas untuk menolak air ke luar padang, dan sudah semestinya pihak bertanggungjawab tahu mengenai kewujudan alat itu.

Jadi mengapa tiada pihak yang terfikir untuk menyediakan alat itu dengan lebih awal?

Selain itu, keadaan lantai tandas di stadium yang bertakung dengan air juga harus diteliti oleh pihak berkenaan.

Ia jelas menunjukkan bahawa sistem perparitan canggih yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini hanya sekadar cakap kosong sahaja.

Sebagai tuan rumah, pihak terbabit sepatutnya sudah bersedia dengan segala kemungkinan termasuk cuaca buruk di negara ini.

Ini juga bukanlah kali pertama Malaysia menganjurkan acara sukan bertaraf dunia, sebelum ini kita pernah menganjurkan beberapa kejohanan besar seperti Sukan Komenwal 1998, Piala Asia 2007, Formula One, Piala Thomas dan banyak lagi.

Jadi apa alasan untuk tidak bersedia menganjurkan Kelayakan Piala Asia 2023 ini? Insiden ini semestinya bakal memberi kesan kepada negara jika berhasrat untuk membida bagi mana-mana kejohanan bertaraf Asia mahunpun dunia selepas ini.

Perbuatan menuding jari tidak seharusnya berlaku sekiranya terdapat komunikasi yang baik antara semua pihak yang terlibat.

Esok masih berbaki dua perlawanan lagi yang akan berlangsung di SNBJ dan diharapkan tidak ada lagi insiden yang boleh mencalarkan lagi imej negara di mata dunia.

Kepada pihak yang bertanggungjawab menguruskan stadium, jalankanlah tugas anda dengan sebaik-baiknya kerana ia juga bakal memberi kesan kepada persembahan skuad kebangsaan.