Tickethotline dan masalah, berpisah tiada

988

Isu tiket sudah menjadi isu lapuk yang tiada kesudahan. Setiap kali ada perlawanan besar terutama melibatkan pasukan negara pasti akan timbul masalah tiket.

Tidak kira perlawanan melibatkan bola sepak atau pun sukan-sukan lain yang pembelian tiket dibuat secara atas talian, isu ini pasti ada.


Objektif utama Tickethotline sebagai platform untuk memudahkan pembelian tiket dilihat tidak memberi impak positif.

Antara masalah yang kerap kali timbul melibatkan pembelian tiket atas talian adalah nombor kerusi sama dengan penyokong lain, nombor kerusi tidak wujud, pilihan seksyen tidak sama seperti yang dipilih dalam laman sesawang.

Ada yang terpaksa berpindah tempat duduk banyak kali bila nombor kerusi yang tertera di atas tiket tidak wujud dan terpaksa duduk di bahagian tangga kerana nombor kerusi sama dengan penyokong lain.

Pernah juga terjadi, pilihan seksyen yang tertera atas tiket tidak sama dengan yang dipilih ketika atas talian, membuat pembeli kecewa kerana view pilihan tidak sama dengan realiti.

Untuk memastikan penyokong terus setia sehingga tamat perlawanan, pilihan nombor tempat duduk dan seksyen yang telah dipilih tidak boleh ada sebarang pindaan seperti membeli tiket wayang.

Tickethotline bukanlah ‘setahun jagung’ jual tiket dalam talian, sebaliknya sudah lama tetapi sistem yang diguna pakai masih lagi tidak dinaik taraf dan sesuatu perlu dilakukan dengan segera supaya perkara sama tidak berulang.

Jika isu ini berlarutan lagi, sedikit sebanyak akan menjejaskan minat penyokong untuk ke stadium.

Selain itu, marshall yang bertugas juga tidak banyak membantu apabila ditanyakan mengenai masalah tiket ini, malah ada yang menyatakan tiket yang disediakan adalah “free seating” dan boleh duduk dimana-mana.

Perkara ini tidak seharusnya terjadi kerana tugas utama marshall adalah memudahkan penyokong  serta perlu mempunyai maklumat yang tepat tanpa mengelirukan dan bukannya hanya sekadar menjadi ‘tunggul’.

Di samping itu, terdapat juga komen dari penyokong menyatakan sesetengah penyokong yang datang tidak duduk mengikut nombor kerusi yang telah ditetapkan.

Ini juga satu masalah yang jika tidak diatasi dengan segera ia berkemungkinan besar akan menimbulkan perbalahan antara penyokong nanti.

Penyokong juga perlu berdisiplin dengan duduk di tempat yang sudah ditetapkan seperti tertera di tiket dan bukannya ‘main rembat’ sahaja tempat duduk orang lain.

Ini kerana setiap tiket sudah ditetapkan nombor kerusi dan seksyen mana, jadi ikut saja seperti yang telah ditetapkan jika tiket tidak mempunyai sebarang masalah.

Satu lagi isu, penyokong yang menghalang penglihatan penyokong lain dengan menyaksikan perlawanan secara berdiri dihadapan palang.

Seharusnya perkara ini tidak patut terjadi kerana penyokong ke stadium adalah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak dan bukannya mahu melihat penyokong berdiri, jadi tolong hormati penyokong lain yang ada.

Jangan disebabkan sifat pentingkan diri sendiri menyusah dan menganggu keselesaan orang lain.

Semua yang datang ke stadium atas satu misi iaitu “Demi Malaysia”, jadi ayuh Ekor Harimau Malaya kita turun ke SNBJ beramai-ramai untuk beri sokongan padu buat skuad negara.

Selasa ini akan menyaksikan dua perlawanan berlangsung di sebelah petang dan malam.

Turkmenistan akan menentang Bahrain pada pukul 5.00 petang, manakala Malaysia pula akan menentang Bangladesh pada pukul 9.00 malam.