Harapan negara mara ke Piala Asia 2023 berada di tangan ‘sahabat baik’

12,829

Harimau Malaya kini berada dalam kalangan lima pasukan naib juara kumpulan yang mempunyai mata tertinggi daripada enam kumpulan yang berbeza.

Selepas kalah pada perlawanan menentang Bahrain sebelum ini, harapan pasukan Malaysia akan diletakkan sepenuhnya pada perlawanan menentang Bangladesh yang dijadualkan Selasa ini selaku penutup aksi pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E.


Bangladesh merupakan antara lawan yang hebat berdasarkan prestasi semasa mereka yang sangat berdisipilin ketika bertahan mampu menimbulkan pelbagai masalah kepada barisan serangan negara.

Jaringan gol terakhir pasukan Bangladesh menerusi throw-in sewaktu menentang Turkmenistan juga menandakan bahawa pasukan negara perlu memberi lebih perhatian pada aspek tersebut.

Selain itu, pengalaman ketua pasukan mereka, Jamal Bhuyan yang pernah beraksi di Liga Denmark sebelum ini akan menjadi ‘duri dalam daging’ yang akan mengucar-ngacirkan pasukan negara.

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon perlu menurunkan kesebelasan utama terbaik yang dibarisi oleh pemain barisan hadapan yang lebih agresif dan tajam di hadapan gawang lawan berbanding perlawanan sebelum ini.

Pada masa yang sama, perlawanan Kumpulan B di antara Palestin dan Filipina akan turut memainkan peranan kepada kemaraan pasukan Harimau Malaya di kejohanan Piala Asia 2023.

Pasukan Palestin wajib menewaskan Filipina pada 14 Jun ini untuk membantu meletakkan pasukan Malaysia di dalam kedudukan yang lebih selesa.

Di atas kertas, Palestin dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut berdasarkan kedudukan mereka di ranking ke-100 dunia.

Namun, prestasi yang cukup memberangsangkan telah ditunjukkan oleh pasukan Filipina apabila berjaya mengikat pasukan Yemen tanpa jaringan serta kemenangan ke atas Mongolia telah membuktikan kemampuan mereka melakukan kejutan.

Pasukan Filipina turut dibarisi oleh penjaga gol, Neil Etheridge yang kini beraksi bersama Birmingham City di England.

Palestin kini menggungguli saingan Kumpulan B diikuti oleh Filipina yang telah berjaya mengumpul empat mata.  

Di samping itu, keputusan sebuah lagi negara jiran, Indonesia akan turut memberi kesan.

Pasukan negara akan terus layak ke Piala Asia jika mendapat tempat kedua kumpulan sekiranya pasukan Nepal berjaya mengalahkan pasukan Indonesia.

Pada masa ini, pasukan negara berada di atas pasukan Indonesia yang berada di tangga keenam terbaik dengan tiga mata, cuma dibezakan dengan defisit jaringan setelah pasukan Garuda hanya berjaya menjaringkan dua gol daripada dua perlawanan.

Berdasarkan peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain negara, ini merupakan peluang terbaik untuk Malaysia layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas kempunan selama 42 tahun.

Selain daripada peminat Malaysia, dijangka ribuan penyokong pasukan Bangladesh akan turun dari seluruh pelosok negeri untuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil esok.