Alangkah bagusnya jika semua pasukan ‘tiru’ padang JDT
Kegagalan penganjur menyediakan padang yang baik bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain Sabtu lalu harus menjadi pengajaran buat semua pasukan di Liga Malaysia.
Insiden itu bukan sahaja mengganggu perlawanan yang amat penting buat negara tetapi juga mencalarkan imej Malaysia di mata dunia.
Tidak perlu memandang jauh, di negara ini sudah ada contoh stadium bertaraf dunia yang boleh dijadikan inspirasi oleh pengurusan stadium lain iaitu dua stadium milik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan juga Stadium Larkin.
Lihat saja pada perlawanan peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) April lalu, terdapat perlawanan yang dilangsungkan pada hari hujan tetapi keadaan padang di kedua-dua stadium tetap jauh lebih baik dari Stadium Nasional Bukit Jalil tempoh hari.
Tahun lalu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi kos membaik pulih dan penambahbaikan padang stadium di seluruh negara.
Namun jumlah itu ternyata amat kecil kerana mengambil kira keadaan kebanyakan padang di negara ini yang masih banyak ketinggalan.
Selain daripada kos membaik pulih dan penambahbaikan, kos penyelenggaraan juga amat penting bagi memastikan stadium sentiasa dalam keadaan baik setiap masa.
Sekiranya semua pihak meniru apa yang dilakukan oleh JDT, pasti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri akan ‘pening kepala’ untuk memilih stadium mana yang layak menjadi tuan rumah.
Malah dengan adanya banyak padang yang melepasi standard yang ditetapkan, Malaysia mungkin berpeluang untuk menganjurkan Piala Asia 2023 tanpa penganjuran bersama seperti tahun 2007.
Apa yang dilakukan JDT itu sepatutnya sudah menjadi satu penanda aras minima yang patut dilakukan oleh semua pasukan dalam Malaysia.
Tidak perlu stadium segah SSI, asalkan tidak nampak daif dan tidak nampak seperti bendang sekiranya hujan lebat turun.