Teknologi VAR selangkah ke hadapan, Malaysia masih lagi dengan isu penyodok
Selepas menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) pada Piala Dunia 2018 lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dijangka akan mengaplikasikan penambahbaikan teknologi itu yang menggunakan bantuan Artificial Intelligence (AI) pada Piala Dunia 2022 di Qatar.
Teknologi separa automatik itu dikhususkan untuk menentukan keputusan ofsaid dengan lebih tepat dan cepat berbanding sekarang.
Dengan teknologi VAR sekarang, purata masa yang digunakan untuk pengadil menentukan keputusan ofsaid adalah sebanyak empat minit, tetapi dengan teknologi itu ia akan menjadi kurang daripada satu minit.
Ia ternyata satu perkara yang baik buat perkembangan bola sepak kerana dapat mengurangkan kesilapan manusia (human error) dan melancarkan lagi permainan.
Saban tahun, ada saja perkara dan teknologi baru yang diperkenalkan dalam bola sepak tetapi arena bola sepak Malaysia seakan-akan masih lagi berada satu dekad di belakang.
Walaupun dari segi ranking Liga Malaysia (Liga M) merupakan antara liga yang terbaik di Asia Tenggara tetapi Thailand sudah terlebih dahulu mengimplementasikan VAR dalam liga mereka.
Malah, Liga 3 di Indonesia juga sudah mempunyai inisiatif untuk ke arah tersebut walaupun tidak menggunakan VAR yang diperakui oleh FIFA.
Pada musim 2022, sudah banyak keputusan kontroversi yang dilakukan pengadil Liga M walaupun belum sampai separuh musim, jadi pihak terbabit sepatutnya sedar mengenai kepentingan VAR dalam liga.
Bukan itu saja, teknologi garisan gol yang mula digunakan pada 2012 pun masih belum lagi diguna pakai di negara kita.
Amat sedih jika melihat penyokong masih lagi terpaksa menghadap isu-isu remeh yang tidak sepatutnya berlaku pada hari ini seperti tunggakan gaji dan pemilikan stadium.
Jika teknologi baru itu berjaya digunakan di Piala Dunia tahun ini, Liga Perdana Inggeris (EPL) akan menjadi liga pertama yang mengaplikasi teknologi itu.
Malaysia? Masih lagi sibuk dengan isu penyodok.