Palestin tepati ramalan benam Filipina, kini tinggal Bangladesh jadi penghalang ke Piala Asia 2023
Pasukan Malaysia berpeluang cerah layak secara merit ke Piala Asia 2023 setelah pasukan Filipina tumpas di tangan Palestin pada perlawanan terakhir Kumpulan B di pusingan kelayakan.
Pasukan ranking ke-100 dunia, Palestin menepati ramalan membenam pasukan Filipina dengan jaringan 4-0.
Penyerang Saleh Chihadeh membuka akaun jaringan Palestin pada minit ke-31 sebelum Tamer Seyam menjaringkan gol kedua sebelum tamat separuh masa pertama.
Mohammed Yameen menambah derita pasukan Filipina apabila berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-55 diikuti oleh pemain tengah, Mahmoud Abu Warda yang menjaringkan gol terakhir pada minit ke-72.
Ekoran daripada kekalahan ini, Filipina kekal dengan empat mata selaku naib juara Kumpulan B.
Situasi ini memberi peluang cerah kepada pasukan kebangsaan yang kini berada di tangga kelima daripada enam pasukan naib juara setiap kumpulan di bawah Filipina setelah mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan.
Kini halangan yang tinggal hanyalah untuk mengalahkan pasukan Bangladesh.
Pasukan negara perlu memenangi perlawanan pada malam ini untuk menempah slot ke Piala Asia tahun depan secara merit.
Kemenangan menentang Bangladesh akan memberikan tambahan tiga mata selesa untuk meletakkan skuad kebangsaan di tangga keempat dalam senarai Top 5 naib juara kumpulan.
Selain daripada keputusan perlawanan Malaysia-Bangladesh, keputusan perlawanan di antara Indonesia dan Nepal akan turut menjadi penentu nasib pasukan Filipina.
Jika Indonesia turut berjaya menewaskan pasukan Nepal, musnahlah harapan Filipina untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Halangan pertama pasukan negara telah pun selesai, namun tanggungjawab yang lebih penting perlu digalas oleh pemain-pemain negara bagi memastikan tiga mata berharga dapat diperoleh pada malam ini.
Ketepikan hal lain, misi wajib menang perlu kekal menjadi fokus utama anak-anak buah Kim Pan-gon bagi memperagakan aksi bertenaga selama 90 minit di atas padang.