3 Calon yang paling tepat untuk menggantikan Tan Cheng Hoe jika beliau dipecat

186

Setelah kekalahan Pasukan Harimau Malaya kepada Sang Garuda di Kejohanan AFF Suzuki semalam bermakna sasaran yang diletakkan untuk Harimau Malaya mara ke peringkat akhir tidak berjaya dicapai. Justeru ramai yang menunding jari terhadap Jurulatih negara Tan Cheng Hoe yang salah mengatur strategi lalu memakan diri sendiri. Semenjak mulanya kejohanan pihak netizen telah mencari-cari kesilapan yang dilakukan oleh Tan Cheng Hoe seperti hanya membawa 24 pemain daripada 30 orang pemain yang dibenarkan. Desas desus yang mengatakan Tan Cheng Hoe bakal di pecat semakin kuat jadi kami senaraikan 3 calon yang layak mengemudi Harimau Malaya.

Bojan Hodak


Berasal daripada Croatia tetapi mempunyai pengalaman yang luas dalam bola sepak tanah air. Beliau bermula dengan menjadi Jurulatih untuk Pasukan UPB-MyTeam FC pada tahun 2006 sehingga 2009. UPB-MyTeam pasukan yang baru dibentuk ketika itu berjaya mendapat tempat kedua hasil di bawah bimbingan Bojan Hodak. Bermula dari sinilah perjalanan Bojan Hodak sebagai jurulatih dikenali ramai. Seorang yang lantang dalam membuat tindakan membuatkan para pemain sangat menghormatinya. Tahun 2012 merupakan tahun gemilang baginya kerana berjaya membawa skuad The Red Warrior mendapat kejuaraan treble dengan mengangkat Piala Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA. Malahan Bojan juga turut mengecapi kejuraan bersama JDT apabila buat julung kalinya JDT memenangi Liga Super pada tahun 2014. Selain itu, Bojan Hodak juga pernah membimbing Skuad Harimau Malaya bawah 23 tahun. Justeru, untuk menjadikan Bojan Hodak sebagai jurulatih Harimau Malaya sangat relevan kerana beliau sangat mengenali para pemain terutamanya pemain yang pernah beraksi bersamanya. Malahan, selain mampu menggilap pemain sehingga pemain beraksi di tahap terbaik Bojan Hodak juga sangat bijak menyusun strategi dan taktikal mengikut lawan yang bakal dihadapi. Perkara ini juga terjadi kepada pasukan KL City dimana atas kebijaksanaan beliau KL City mampu menjulang Piala Malaysia setelah 32 tahun dengan mengalahkan JDT. Peratus untuk skuad Harimau Malaya adalah tipis untuk mendapat Bojak Hodak sebagai Jurulatih kerana beliau sudah mempunyai kontrak dan perancangan rapi untuk KL City yang bakal beraksi di Kejohanan AFC sekali.

Sumber foto : KL City FC Official

Brad Maloney

Siapakah Brad Maloney ini? Sekarang beliau merupakan Jurulatih Harimau Malaya Bawah umur 22 tahun. Beliau cukup mengenali para pemain muda kerana pernah menjadi penolong jurulatih untuk Harimau Malaya B23 pada tahun 2014 sehingga 2018 serta Brad Maloney juga pernah membimbing skuad Malaysia B19. Justeru tiada masalah bagi beliau untuk menyesuaikan diri dalam kancah bola sepak negara. Prestasinya juga sangat memberangsangkan apabila berjaya membawa pasukan negara layak ke Piala Asia U23 AFC yang akan berlangsung pada 2022. Beliau sangat faham akan keadaan dan prestasi para pemain muda yang pernah bersamanya. Antara pemain yang berjaya dibentuk sehingga bersinar dalam liga Malaysia seperti Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim dan Nik Akif. Brad Maloney juga gemar akan pemainan pantas seperti yang dilakukan Skuad B23 negara malahan beliau bijak dalam merancang taktikal bersesuaian dengan kelebihan yang para pemain miliki. Peratus untuk Harimau Malaya menjadikan Brad Maloney sebagai Jurulatih agak berkelebihan kerana pengalaman yang beliau ada bersama FAM telah membuatkan beliau antara calon yang sesuai untuk diberi peluang mengemudi Harimau Malaya. Hubungannya bersama pihak FAM dan para pemain juga sangat baik. Daripada sudut ini, kita akan mampu melihat keserasian para pemain dalam memahami taktikal dan corak permainan yang disusun oleh jurulatih.

Sumber foto : FAM Official

Nafuzi Zain

Seorang anak tempatan yang asal dari Kelantan. Merupakan bekas pemain Kelantan dan pernah beraksi untuk skuad negara. Seterusnya beliau memulakan bidang kejurulatihan pada tahun 2013 bersama skuad Kelantan selaku pembantu Jurulatih B21 kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Jurulatih B21 pada tahun berikutnya. Pada tahun 2017 Nafuzi Zain beralih angin apabila diberi peluang untuk melatih skuad utama Terengganu selaku Pembantu Jurulatih. Beliau suka ketengahkan bakat-bakat pemain muda semenjak menceburi kejurulatihan ini. Setelah menjadi Ketua Jurulatih untuk pasukan Terengganu, Nafuzi gemar mencari dan memberi ruang kepada bakat-bakat muda untuk beraksi. Bersesuaian dengan corak permainan pantasnya yang memerlukan stamina yang tinggi. Formasi 4-3-3 adalah kegemarannya serta sesuai dengan pemain yang beliau miliki. Malahan, beliau sangat bijak untuk menyusun strategi mengikut musuh yang bakal dihadapi. Kita lihat sahaja skuad Terengganu macam mana hebatnya apabila berada di bawah didikan Nafuzi Zain. Kecergasan para pemainnya tidak boleh dipertikaikan lagi apabila mereka mampu memberi persembahan 100 peratus sehingga minit terakhir perlawanan. Cara beliau mengendali para pemain juga amat dihormati sehinggakan para pemain begitu yakin dan percaya kepadanya. Peratus untuk skuad Harimau Malaya jadikan Nafuzi Zain sebagai pengemudi adalah tinggi kerana beliau belum diberi kontrak baru oleh skuad Sang Penyu setelah tamatnya musim 2021 ini. Jika kena caranya FAM mampu memujuk Nafuzi untuk ditimbangkan sebagai Jurulatih Utama Harimau Malaya.

Sumber foto : Terengganu FC Official