Kita belum menang Piala Asia lagi

957

Pasukan bola sepak kebangsaan telah mencipta sejarah apabila berjaya menamatkan kemarau 42 tahun layak ke Piala Asia selepas menumpaskan Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Bagaimanapun di sebalik kegembiraan seluruh rakyat Malaysia atas kejayaan itu, muncul satu video yang memperlihatkan beberapa pemain Harimau Malaya sedang berparti arak di sebuah kelab malam bagi meraihkan kejayaan bersejarah itu.


Bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mereka berparti untuk meraikan kejayaan selepas mereka bekerja keras di padang, tetapi apa yang tidak enak dilihat adalah kelibat pemain muda Akhyar Rashid yang turut berada di parti itu.

Tidak dapat dipastikan samada dia mengambil minuman keras atau tidak kerana berdasarkan satu video IG ‘story’ oleh teman wanita pemain pertahanan negara Junior Eldstal, kelihatan terdapat sebatang rokok di tangan Akhyar.

Ya tidak salah untuk pemain bukan beragama Islam untuk meraikan kejayaan dengan minuman keras tetapi umum sedia maklum dengan kesan pengambilan alkohol dalam badan terutamanya kepada atlet sukan seperti pemain bola sepak.

Pada masa sama juga tidak dapat dipastikan siapa lagi pemain yang turut serta dalam parti tersebut kerana dalam video singkat itu hanya memaparkan beberapa pemain lain antaranya Darren Lok, Corbin Ong dan Dominic Tan.

Lihat sahaja pemain bola sepak terbaik dunia seperti Cristiano Ronaldo, walaupun beliau dianggap sebagai ‘dewa’ dalam dunia bola sepak tetapi segala kejayaan yang dikecapi beliau tidak pernah lupa diri, sebaliknya kekal berdisiplin termasuk tidak pernah menyentuh alkohol.

Tidak dapat dinafikan bola sepak Malaysia kini sedang dalam revolusi selepas diambil alih oleh pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon dan berada di landasan yang tepat untuk meraih kejayaan, oleh itu disiplin yang tinggi perlu dikekalkan oleh semua pihak untuk memastikan segala usaha yang telah dibuat tidak kandas di tengah jalan.

Selepas beberapa kekecewaan dalam, skuad negara kini mula memperlihatkan kualiti permainan yang cukup menarik yang dilihat mampu membawa pasukan ini pergi dengan lebih jauh lagi.

Pan-gon dalam sidang medianya selepas tamat perlawanan semalam telah memberitahu misinya untuk bawa Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sudah tercapai, tetapi masih jauh lagi perjalanan mereka.

Ini kerana selepas ini misinya adalah untuk menjuarai Piala AFF yang dijadualkan berlangsung pada Disember depan.

Jika pemain dapat mengekalkan konsistensi seperti yang dipamerkan sepanjang kempen Kelayakan Piala Asia 2023, tidak mustahil Malaysia mampu mengulangi kejayaan menjulang trofi itu 12 tahun yang lalu pada edisi 2010.

Kita belum menang Piala Asia lagi, juga tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia. Malaysia perlu memperbaiki rekod Piala Asia mereka pada tahun 2007 yang mana ketika itu kita menjadi tuan rumah bersama yang mana memperlihatkan pasukan kebangsaan gagal mengutip sebarang mata, sebaliknya menjadi pasukan belasahan.

Banyak lagi kerja yang harus dilakukan untuk mencapai sasaran itu dan jika kita tidak konsisten dan berdisiplin, pasti sukar untuk mengecapi kejayaan itu.