KPG ada aura tersendiri, tetapi jangan lupa jasa TCH
Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon membuktikan kemampuan beliau selepas berjaya membawa Malaysia ke pentas Piala Asia.
Pan-gon yang mula mengambil alih tugas ini daripada bekas ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe pada Januari 2022 telah berjaya meningkatkan prestasi pemain-pemain negara berdasarkan keputusan yang telah dicapai pada kesemua perlawanan setakat ini.
Di bawah kendalian beliau, pasukan negara hanya tewas sebanyak dua kali daripada tujuh perlawanan dan berjaya mencatat lima kemenangan termasuk kejayaan menewaskan Bangladesh untuk menempah tiket ke Piala Asia 2023
Walaubagaimanapun, kredit tetap perlu diberikan kepada Cheng Hoe atas peranan besar yang dimainkan selaku pelopor kepada kejayaan yang dicapai pada hari ini.
Beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab bagi membentuk pasukan ini sebelum Pan-gon mengambil alih.
Pemilihan pemain yang hampir sama, hanya dibezakan dengan beberapa penambahan muka baru bersesuaian dengan corak taktikal pengendali dari Korea Selatan itu.
Terdapat beberapa faktor menarik yang membuatkan Pan-gon berbeza dan lebih menyerlah berbanding Cheng Hoe.
Beliau mengamalkan filosofi kejurulatihan moden berdasarkan pendekatan yang diambil olehnya untuk membawa masuk pasukan kejurulatihan yang berpengalaman.
Antara nama besar adalah penolong jurulatih, Pau Marti Vicente yang sebelum ini bersama pasukan B18 Barcelona dan juga jurulatih kecergasan, Dr. Gokhan Kandemir yang pernah bersama kelab gergasi Turki, Trabzonspor.
Tambahan lagi, kehadiran jurulatih tempatan yang berpengalaman seperti E. Elavarasan sebagai pembantu turut memberi kelebihan kepada Pan-gon untuk memahami selok belok bola sepak Malaysia dengan lebih jelas.
Pan-gon turut dikenali sebagai jurulatih yang sangat teliti dengan setiap keputusan yang diambil.
Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa pengendali berusia 53 tahun itu meminta pihak pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memotong rumput ke sesetengah ukuran (cm).
Tambahan lagi, penggunaan teknologi canggih seperti drone bagi menganalisis setiap sesi latihan jelas menunjukkan ketelitian beliau merangka strategi untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Di samping itu, keakraban ketua jurulatih tersebut bersama para pemain dan barisan staf dilihat berjaya mengubah mood di kem kebangsaan.
Hubungan kekeluargaan yang dibina oleh beliau berjaya menjadi motivasi kepada semua pemain untuk menampilkan persembahan terbaik apabila dipilih untuk beraksi.
Dalam pada itu, sistem sokongan padu yang diberikan oleh kesemua kelab turut memberikan impak yang besar dan perlu diberikan pujian.
Sebagai contoh, Johor Darul Ta’zim (JDT) sanggup memberi pelepasan kepada kesemua pemain meskipun seramai 15 pemain yang telah dipanggil dan hampir kesemuanya adalah pemain utama pasukan tersebut.
Selain itu, kesudian pasukan seperti Petaling Jaya City FC dan Negeri Sembilan FC untuk melepaskan pemain bintang seperti Darren Lok dan Syihan Hazmi nyata membantu Pan-gon menyiapkan pasukan terbaik untuk beraksi pada setiap perlawanan.
Keberanian Pan-gon untuk sentiasa merombak pasukan berdasarkan prestasi semasa pemain menjadi antara penyebab pasukan negara sentiasa berada di tahap terbaik.
Sepanjang mengendalikan pasukan negara, beliau telah menggunakan sebilangan besar pemain dan tidak terikat dengan kesebelasan utama yang sama.
Lebih mengejutkan, keputusan beliau menggantikan penjaga gol utama merangkap ketua pasukan, Farizal Marlias dan memasukkan penjaga gol ketiga, Syihan pada perlawanan penentuan tampak sebagai sebuah langkah ‘berani mati’.
Pemilihan Syihan juga menimbulkan tanda tanya kerana kebanyakan penyokong menjangkakan bahawa seorang lagi penjaga gol, Khairul Azhan yang lebih berpengalaman akan masuk sebagai pilihan kedua.
Namun, aksi menyakinkan yang ditunjukkan oleh Syihan pada kap pertamanya membuktikan kehebatan percaturan yang dilakukan oleh Pan-gon.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk pemain yang tidak tersenarai di dalam kem kebangsaan untuk membuktikan kemampuan mereka di peringkat liga.
Kelab juga perlu sentiasa memberi peluang kepada muka baru terutamanya barisan pemain muda yang mampu diserap sebagai prospek masa depan negara.
Pemain B23 negara seperti Harith Haiqal dan Nik Akif Syahiran perlu diberi peranan yang lebih besar di peringkat kelab agar mereka mampu bersaing dengan pemain sedia ada dalam pasukan utama negara.
Kini, misi lebih besar menanti Pan-gon dan barisan kejurulatihan bagi menyiapkan pasukan terkuat negara untuk beraksi di pentas Piala Asia pada tahun hadapan.
Kehadiran Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Thailand ke Piala Asia 2023 menggamit semula memori Piala Asia 2007 sebelum ini yang dijalankan serentak di keempat-empat buah negara selaku tuan rumah bersama.
Semoga rentak cemerlang ini mampu diteruskan oleh para pemain bagi mengubati kekecewaan menjadi pasukan belasahan pada penyertaan terakhir negara di pusingan akhir Piala Asia.
Bekas pemain negara, Indra Putra Mahayuddin menjadi satu-satunya pemain negara yang berjaya menjaringkan gol pada kejohanan tersebut.