Analisis: Skuad Harimau Malaysia di Piala AFF

417

Tragedi 2016 berulang kembali. Berakhir sudah saingan pasukan Malaysia di saingan Piala AFF 2020 di Singapura apabila mereka tersingkir awal selepas dimalukan Indonesia 1-4 pada perlawanan terakhir kumpulan B semalam.

Kekalahan pasukan Harimau Malaya sememangnya sudah diramal sebelum sebelum skuad kebangsaan terbang ke Kota Singa lagi apabila peminat berang dan mempersoal pemilihan pemain oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan mengapa bawa 24 pemain sedangkan setiap pasukan dibenarkan membawa 30 pemain.


Sumber foto: FAM Facebook

Dua perlawanan pertama sememangnya sudah dijangka skuad kendalian Cheng Hoe akan menang mudah berikutan lawan yang tidak kuat, namun ujian sebenar adalah ketika bertemu dengan Vietnam dan Indonesia dan ia telah membuktikan prestasi pasukan negara belum dapat menandingi kedua-dua pasukan itu.

Apa yang boleh diperkatakan mengenai skuad Malaysia di Piala AFF kali kita tidak mempunyai persefahaman yang baik di antara pemain dan setiap bahagian belum cukup ampuh. Ini kerana Cheng Hoe hanya mempunyai masa beberapa hari sahaja untuk mempersiapkan pemain berikutan jadual perlawanan Liga Malaysia berakhir kurang seminggu sebelum kejohanan dwi tahunan itu berlangsung.

Baik bahagian pertahanan, tengah mahu pun serangan, pemain negara seperti hilang arah dan buntu untuk mempamerkan corak permainan menarik.

Untuk penjaga gawang tiada banyak boleh diperkatakan mengenai persembahan Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek kerana beliau menggunakan segala pengalamannya untuk cuba menafikan sebarang percubaan, tetapi gol-gol yang dilepaskannya bukannya seratus peratus salahnya sebaliknya kesilapan yang dilakukan benteng pertahanan.

Sumber foto: FAM Facebook

Di bahagian pertahanan, Cheng Hoe mempertaruhkan Aidil Zafuan, Shahrul Saad, Syahmi Safari, Dion Cools, Dominick Tan, Rizal Ghazali, Quentin Cheng, Ariff Farhan dan Arif Fadzilah. Berdasarkan nama-nama yang dibawa Cheng Hoe hanya beberapa pemain sahaja yang kerap kali mendapat minit permainan seperti Rizal Ghazali, Syahmi Safari, Arif Fadzilah, Ariff Farhan dan Dion Cools, tetapi hanya Rizal dan Syahmi sahaja yang diturunkan dalam kesebelasan utama.

Perlawanan pertama dan kedua Aidil, Rizal, Sharul dan Syahmi diturunkan tidak berdepan masalah besar apabila mudah mengawal benteng dengan kemas dan hanya bolos satu gol ketika menentang Kemboja menerusi penalti.

Bagaimanapun apabila turun menentang Vietnam, kelemahan benteng pertahan mula kelihatan dan lebih malangnya lagi dua tonggak pertahanan negara Aidil dan Shahrul mengalami kecederaan hamstring kerana permainan intensi tinggi oleh Vietnam ditambah kedua-dua mereka sememangnya kurang minit permainan. Ini telah menyebabkan mereka tidak dapat diturunkan ketika menentang Indonesia.

Rizal dan Syahmi beraksi cemerlang pada tiga perlawanan pertama tetapi mereka seolah-olah kelihatan seperti kurang bertenaga apabila menentang Indonesia terutamanya di sebelah kiri apabila pemain Indonesia mudah menyelinap masuk apabila Syahmi sering keluar dari posisinya.

Sumber foto: FAM Facebook

Skuad negara kemudian mendapat ‘tonik’ tambahan apabila pemain yang berpengkalan di Eropah iaitu Dion Cools tiba di Singapura dua hari sebelum perlawanan terakhir, namun kurang keserasian menyebabkan benteng pertahanan seperti hilang arah.

Ia sangat jelas benteng pertahanan Malaysia sangat rapuh apabila bertemu dengan pasukan hebat seperti Vietnam dan Indonesia. Cheng Hoe sebenarnya boleh mengelak perkara ini terjadi sekiranya membawa masuk beberapa pertahanan yang sedang dalam prestasi baik seperti Rodney Calvin dan beberapa lagi.

Selain benteng pertahanan, bahagian tengah sangat penting untuk sesebuah pasukan kerana segala serangan akan bermula dari tengah, jadi apabila kita dapat mengawal di bahagian tengah ia memberi kelebihan kepada penyerang negara untuk merencanakan sesuatu.

Bahagian tengah negara dikemudi oleh pemain berpengalamn Baddrol Bakhtiar bersama Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Junior Eldstal dan Arif Aiman. Sama seperti benteng pertahanan, bahagian tengah negara berfungsi dengan baik sekali pada dua perlawanan pertama dengan hantaran-hantaran berbahaya daripada Baddrol selain larian padu daripada Arif dan Safawi.

Bagaimanapun ketika perlawanan menentang Vietnam dan Indonesia, bahagian tengah negara seperti tiada idea dan hilang punca apabila melakukan hantaran yang mudah dirampas pihak lawan. Usaha pemain muda Arif yang membuat larian bersama bola di bahagian tepi juga sia-sia apabila tiada seorang pemain pun yang memberi bantuan atau menunggu di dalam kotak penalti lawan membuatkan Arif terpaksa menolak bola ke belakang semula.

Pergerakan Safawi juga terbatas berikutan dikawal ketat oleh pertahanan lawan sehingga menyebabkan dia tidak dapat melakukan larian atau membuat hantaran kepada rakan. Ketika menentang Vietnam bahagian tengah masih tampak ‘solid’ walaupun bolos tiga gol, tetapi menentang Indonesia bahagian tengah kita seperti ‘mati akal’ untuk membuat hantaran sebaliknya sering menghantar bola ke belakang.

Pemain gantian yang dimasukkan juga tidak dapat memberikan sebarang impak langsung, sebaliknya pihak lawan pula semakin agresif melakukan serangan menyebabkan pemain tengah negara terpaksa turun bertahan.

Sumber foto: FAM Facebook

Malaysia sehingga kini masih lagi ketandusan pemain penyerang yang berkualiti. Walaupun kita mempunyai penyerang naturalisasi Guilherme de Paula, namun ia tidak memberi impak langsung malah beliau tidak menjaringkan gol langsung dalam empat perlawanan.

Sharel Fikri, Luqman Hakim dan Syafiq Ahmad juga seperti tiada naluri pembunuh di hadapan gol. Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Luqman dan Syafiq kerana mereka sangat rajin membuat tekanan dan membantu tengah dan benteng pertahanan apabila kubu negara diserang.

Kita tidak menyalahkan pemain seratus peratus kerana mereka sememangnya cuba memberikan yang terbaik buat pasukan, tetapi kekurangan minit permainan dan prestasi semasa mereka menjadi punca mereka tidak dapat menandingi pihak lawan yang berada dalam prestasi terbaik.

Diharap selepas ini jurulatih Harimau Malaya dapat memilih pemain-pemain berdasarkan prestasi semasa selain mempunyai kekerapan minit permainan kerana apabila bermain di peringkat antarabangsa, setiap pemain perlu pamerkan corak permainan berkualiti dan berprestasi tinggi.