Laos bukan lagi lawan setaraf, Malaysia kena ada visi yang lebih jauh!

5,413

Kejayaan pasukan negara mengakhiri pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 dengan cemerlang merupakan titik permulaan kepada ujian yang lebih besar kelak.

Kehadiran pasukan gergasi seperti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi yang turut layak ke Piala Dunia 2022 akan menjadi ancaman terhebat skuad negara di Piala Asia 2023 nanti.


Pelan persiapan perlu segera dirangka oleh pihak pengurusan bagi menambahbaik kualiti semasa pasukan negara menjelang pusingan akhir yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu peminat tentang langkah yang diambil selepas ini iaitu mereka akan mengatur dua perlawanan persahabatan.

Hamidin memberi bayangan bahawa pasukan yang bakal bertemu dengan Malaysia nanti bukan pasukan seperti Laos, dalam erti kata lain pasukan kebangsaan berkemungkinan akan bertemu pasukan yang rankingnya lebih tinggi.

Perkara ini pasti menggembirakan penyokong bola sepak tanah air yang sekian lama berharap agar pasukan negara sentiasa mengambil peluang untuk menentang pasukan di ranking lebih tinggi sebagai pendedahan yang baik kepada para pemain.

Selepas kejayaan tempoh hari, FAM dilihat semakin komited bergerak ke hadapan bagi memastikan skuad yang akan dibawa ke Piala Asia mampu mempamerkan aksi memukau.

Pertemuan dengan negara-negara besar mampu menguji sejauh mana kemampuan para pemain untuk memberi saingan yang hebat di pentas yang lebih tinggi.  

Selama ini, perlawanan menentang pasukan rantau Asia Tenggara dilihat kurang memberikan impak.

Lebih-lebih lagi dalam menyediakan para pemain negara untuk menghadapi lawan yang mempunyai fizikal pemain yang lebih besar dan corak permainan yang berbeza.

Sebelum pusingan kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung, pasukan negara telah bertemu dengan Brunei dalam satu aksi aksi pemanas badan.

Meskipun berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan jumlah jaringan yang besar, kemampuan sebenar para pemain tidak dapat diuji sepenuhnya.

Ini kerana, pemain dari negara seperti Brunei, Laos dan Kemboja mempunyai fizikal yang lebih kurang sama dengan Malaysia serta liga domestik yang kurang kompetitif berbanding negara lain.

Tambahan pula, kelebihan fizikal dan taktikal menyerang yang dimiliki oleh pasukan Timur Tengah seperti Bahrain dan Jordan nyata menjadi penyebab utama kegagalan pemain untuk mendapatkan kemenangan pada pertemuan sebelum ini.  

Di pusingan kelayakan, skuad negara tewas 2-1 kepada pasukan Bahrain yang dibarisi oleh pemain yang dilihat mempunyai keupayaan mendominasi perlawanan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih negara Kim Pan-gon yang sebelum ini pernah menjadi Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) harus memanfaatkan hubungan baiknya bersama KFA bagi mengatur beberapa siri perlawanan menentang pasukan dari negara itu.

Aksi persahabatan dengan beberapa pasukan dari negara tersebut sebelum kejohanan bermula akan dapat memberi peluang kepada barisan kejurulatihan negara mengenal pasti kekurangan yang perlu diperbaiki.

Berdasarkan kedudukan ranking semasa, pasukan negara akan diletakkan di Pot 4 semasa undian kumpulan dan berkemungkinan besar bertemu dengan pasukan gergasi Asia yang lain seperti Arab Saudi, Iran dan Jepun.

Harapan diletakkan sepenuhnya di tangan Pan-gon bagi merangka strategi untuk mengelakkan tragedi hitam di pentas Piala Asia 2007 berulang kembali.