FAM benci saya, tak mungkin mereka akan panggil saya – Lim Teong Kim
Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan bekas Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP), Lim Teong Kim (LTK) menegaskan tidak mungkin beliau akan kembali ke Malaysia untuk mengendali skuad B-23 negara.
Menurut Teong Kim, perkara itu tidak akan berlaku kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlalu ego.
“FAM benci saya, mereka tidak akan panggil saya kerana mereka terlampau ego. Mereka fikir mereka duduk di sana bukan untuk membangunkan bola sepak Malaysia.
Mereka fikir saya ada lawan dengan mereka, tetapi tidak kerana kita bercakap mengenai bola sepak dan bukannya mengenai hal peribadi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Teong Kim berkata demikian selepas ditanya samada beliau akan kembali bersama bekas-bekas pemainnya yang kini di bawah kendalian Brad Maloney selepas skuad B-23 negara gagal dalam dua kejohanan besar iaitu di Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23 baru-baru ini.
Jelasnya lagi, beliau tidak pernah mencampur adukkan soal bola sepak dan peribadi dan apabila beliau bercakap mengenai Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin, apa yang dicakapkan adalah mengenai bola sepak dan bukannya mengenai peribadi Presiden badan induk bola sepak negara itu.
“Apabila saya cakap tentang Presiden FAM, saya bercakap dengan beliau dalam direction bola sepak, bukannya sebagai Datuk Hamidin.”
Malah beliau juga berkata dirinya tiada masalah dan boleh menerima sekiranya ada pihak yang mengkritiknya sebagai jurulatih.
Dalam pada itu, bekas jurulatih remaja Bayern Munich ini masih lagi berkeinginan untuk pulang ke tanah air untuk menabur bakti sekiranya gaji yang ditawarkan berpatutan dengan pengalamannya.
“Keinginan untuk kembali menabur bakti untuk negara itu ada, tetapi kalau setakat bayar macam ‘kuaci’ dan ‘kacang goreng’, anda pasti faham. Tugas ini bukannya mudah dan anda sendiri boleh melihat apa sudah jadi dengan skuad ini.
Dari tahun 2019 sehingga sekarang anda boleh melihat bagaimana prestasi mereka. Jika 2019 mereka sudah bagus, patutnya ketika ini perlu lebih baik dari dahulu tetapi sebaliknya berlaku. Jadi tanda tanyanya adalah kenapa? Persoalan ini harus dijawab sendiri oleh FAM.”
Dalam pada itu, Teong Kim berkata beliau bersedia untuk berunding sekiranya mendapat tawaran untuk kembali membimbing skuad negara.
“Lagi seronok kalau saya dapat kembali bimbing pemain-pemain yang pernah bersama-sama sebelum ini kerana mereka sudah memahami cara latihan dan juga mempunyai keserasian yang cukup baik.”
Terdahulu, konflik di antara Teong Kim dan FAM berlaku selepas beliau dipecat berikutan gagal membawa pemainnya layak ke Piala Dunia B-17 di Peru.