Singapura ‘rindu’ bermain di Liga M? Pertukaran pasukan baik untuk kedua-dua negara
Kegagalan Singapura untuk layak ke Piala Asia 2023 membuatkan peminat bola sepak republik itu terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk melihat pasukan mereka beraksi di pentas tertinggi Asia itu.
Singapura menamatkan saingan kelayakan di tangga ketiga kumpulan F, di belakang Tajikistan dan Kyrgyzstan, dengan hanya memperoleh satu kemenangan ke atas Myanmar.
Kali terakhir mereka layak ke kejohanan itu adalah pada 1984, atas kapasiti sebagai tuan rumah dan ia merupakan satu-satunya Piala Asia yang disertai negara itu.
Disebabkan kegagalan itu, ada penyokong yang mahu Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menghantar pasukan mereka ke Liga Malaysia seperti yang pernah dilakukan dahulu dengan pasukan Lions XII pada tahun 2012 hingga 2015.
Ini kerana Liga Perdana Singapura (SPL) dianggap tidak dapat menyediakan platform buat para pemain tempatan untuk bermain bola di tahap yang tinggi berikutan kualiti permainan di liga itu rendah.
Selama empat tahun Lions XII bermain di Malaysia, mereka pernah memenangi Liga Super pada tahun 2013 dan Piala FA pada tahun 2015.
Pada 2013 juga, pasukan Singapura B-23 juga berjaya memenangi pingat gangsa di kejohanan Sukan SEA menewaskan Malaysia pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Ini menunjukkan mereka mendapat manfaat daripada menyertai Liga Malaysia (Liga M), justeru tidak terkejut sekiranya mereka berminat untuk kembali semula ke sini bagi memperkasakan lagi bola sepak mereka.
Jika perkara tersebut dipertimbangkan, Malaysia juga seharusnya mengambil peluang ini untuk mengadakan ‘program pertukaran’ dengan menghantar pasukan untuk bermain di SPL.
Pertukaran ini dilihat dapat memberi manfaat dari segi pengalaman di peringkat antarabangsa buat para pemain muda negara.
SPL turut mempunyai pasukan dari Jepun iaitu Albirex Niigata, jadi ia adalah sesuatu yang baik buat pemain muda untuk beraksi menentang pasukan luar.
Selain itu, pemain tempatan juga dapat mengenali lawan mereka yang terdiri daripada pemain kebangsaan Singapura dan ini pasti memberi manfaat sekiranya bertemu di peringkat antarabangsa satu hari nanti.
Lagipun ramai pemain B-23 negara yang kurang mendapat minit permainan bersama kelab masing-masing di Liga M, jadi ini adalah satu peluang yang baik buat mereka menonjolkan bakat masing-masing.
Jika Singapura berhasrat untuk menghantar pasukan menyertai Liga M, Malaysia juga patut lakukan perkara sama. Itu barulah adil dan ‘win-win’ untuk kedua-dua pihak.