Sokong pasukan bola sepak negara tidak kira skuad lelaki ataupun wanita tanpa ada diskriminasi

2,216

Bola sepak adalah sukan yang mampu menyatukan masyarakat tidak kira bangsa, agama, umur mahupun jantina.

Namun satu hantaran di Twitter oleh @Arisza_Ruzzain,“It’s time for UltraNita to support the #MalayanTigress” telah mendapat reaksi balas dari ketua pasukan skuad futsal wanita negara, Intan Serah.


Intan Serah membalas hantaran itu dengan berkata: “Kenapa UltraNita? Kalau wanita main bola, memang kena wanita ke yang sokong? Kenapa tidak Ultras Malaya dan UltraNita bergabung?”

Sebagai penyokong setia seharusnya memberi sokongan kepada semua pasukan bola sepak negara tanpa ada diskriminasi.

Walaupun Ultras Malaya (UM) yang kesemuanya dianggotai oleh lelaki, mereka boleh turun padang memberi sokongan kepada pasukan bola sepak wanita juga.

Sebagai sebuah kelab penyokong bola sepak negara sudah semestinya mereka akan memberi sokongan kepada bola sepak tidak kira pasukan lelaki ataupun wanita.

Tidak perlu rasanya wujudkan UltraNita untuk menyokong pasukan Malayan Tigress kerana dalam bola sepak semua boleh menjadi penyokong.

Sebagai contoh, semasa perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini, penyokong wanita turut datang ke stadium beramai-ramai untuk memberi sokongan.

Perkara ini juga boleh dilakukan ketika perlawanan melibatkan pasukan bola sepak wanita negara dimana semua boleh jadi penyokong.

Tidak kira bangsa dan jantina, sudah tiba masanya seluruh rakyat Malaysia perlu bersatu menunjukkan sokongan padu buat pasukan negara.

Sokongan penyokong dalam satu-satu perlawanan dapat membakar semangat pemain di atas padang.

Malah ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon turut mengakui bahawa kemenangan pasukan Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia 2023 adalah hasil daripada sokongan padu semua penyokong.

Untuk info, skuad bola sepak wanita negara, Malayan Tigress akan menghadapi Kejuaraan AFF 2022 yang akan berlangsung di Binan City, Filipina bermula 4 hingga 12 Julai nanti.

Ayuh semua Ekor Harimau Malaya, teruskan sokongan anda buat pasukan Malayan Tigress!