Persiapan KDA FC ke Piala AFC hambar tanpa liputan meluas
Tahun 2022 merupakan tahun yang cukup gemilang buat bola sepak tanah air! Kegemilangan bermula dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mencipta sejarah apabila berjaya layak ke pusingan 16 AFC Champions League (ACL) Mei lalu.
Belum pun sampai sebulan kemudian, skuad kebangsaan Harimau Malaya pula mencipta sejarah apabila berjaya ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit sekaligus menamatkan kemarau 42 tahun tidak layak secara merit.
Selepas kejayaan pasukan kebangsaan, ia sepatutnya akan disambung lagi apabila pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur City FC (KLCFC) akan bersaing dalam Piala AFC pula yang akan bermula pada 24 Jun ini.
KL City bernasib baik apabila dipilih sebagai tuan rumah untuk perlawanan Kumpulan H, manakala Kedah pula akan bersaing dalam Kumpulan G yang berlangsung di Bali, Indonesia.
Bagaimanapun agak menghairankan tiada berita hype mengenai pasukan naib juara Liga Super musim lalu, Kedah, apabila persiapan yang dilakukan oleh mereka dilihat seperti ‘tertutup’ dan ‘berahsia’ apabila tidak banyak media yang membuat laporan mengenai persiapan mereka.
Segala perkembangan persiapan hanya dikemaskini melalui media sosial rasmi pasukan itu sendiri yang memuat naik foto-foto ketika mereka berlatih.
Sehingga kini masih lagi tiada sebarang kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Khamal Idris Ali ataupun ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak mengenai persiapan pasukan menjelang Piala AFC.
Ramai penyokong Sang Kenari tertanya-tanya berikutan pada musim ini Kedah menjadi antara pasukan yang bergelut dengan prestasi merosot dan ia nyata menimbulkan kebimbangan penyokong setia Hijau Kuning yang tidak mahu pasukan mereka gagal di Piala AFC.
Selepas kehilangan pemain tonggak dan beberapa pemain yang tidak mempamerkan aksi terbaik, Kedah seperti ‘lambat’ membuat kerja apabila baru menandatangani seorang pemain import dari Thailand iaitu Sanrawat Dechmitr dan Akmal Zahir dari Melaka United FC pada jendela perpindahan kedua.
Kedah yang sebelum ini dilaporkan akan membuat rombakan besar-besaran termasuk mahu membawa lima pemain baru tidak kelihatan berikutan sehingga tiada lagi khabar berita mengenai tiga lagi pemain yang sepatutnya dibawa masuk.
Ketika artikel ini ditulis, pasukan Kedah mempunyai tempoh sehari sahaja lagi untuk mengumumkan pemain baru sebelum mereka terbang ke Bali pada 19 Jun ini.
Perkara ini bukan sahaja mengecewakan pihak media termasuk Harimau Malaya yang begitu ingin membuat liputan mengenai pasukan yang akan mewakili Malaysia ke pentas Asia, tetapi juga penyokong kecewa apabila tiada perkembangan terkini dari pasukan kesayangan mereka.
Situasi ini cukup berbeza dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) iaitu Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sangat terkenal dengan sikap lantangnya terutamanya apabila bercakap mengenai bola sepak Kedah mahupun bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
Malah Sanusi juga sering mencetuskan kontroversi yang dilihat positif di mata penyokong terutamanya dengan pemilik JDT iaitu TMJ apabila kedua-dua mereka sering ‘berperang’ di media arus perdana dan juga media sosial tentang isu bola sepak tanahair.
Mungkin ‘perang’ yang dicetuskan oleh mereka ini adalah bertujuan untuk menghangatkan hari perlawanan di antara kedua-dua pasukan, tetapi kadang-kala penyokong merasakan agak keterlaluan.
Malah baru-baru ini Sanusi menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan dunia sukan apabila beliau mengeluarkan kenyataan ‘tokong’ sehingga dilihat menyebabkan pemain JDT iaitu Syafiq Ahmad yang dipinjamkan ke Kedah dipendekkan tempoh pinjaman.
Keputusan untuk ‘menarik’ balik pemain itu tidak diberikan sebab kukuh, sebaliknya pihak JDT hanya menyatakan bahawa Syafiq akan kembali memperkuatkan pasukan sekaligus membuatkan penyokong mempercayai tindakan Sanusi itu menjadi punca.
Suka atau tidak tindakan yang dilakukan Sanusi ini sebenarnya memeriahkan industri bola sepak tempatan yang dilihat seperti sudah hilang serinya apabila terdapat beberapa pasukan yang seperti tidak mahu mendapat perhatian media.
Perkara ini sepatutnya tidak berlaku dalam dunia bola sepak moden kerana publisiti sangat penting dan ia pasti menambah nilai komersial sesebuah liga. Jika sesebuah liga itu meriah dan sering diperkatakan sudah tentu lebih banyak penaja yang akan datang sekaligus menaikkan nilai komersial.
Jika semua perkara nak buat dalam ‘kelambu’, memang liga kita tidak akan kemana dan kekal suram sampai bila-bila.
Lihat sahaja kejayaan dan populariti yang diperolehi oleh JDT ketika ini. Ia adalah usaha keras daripada TMJ dan barisan pengurusan pasukan yang sangat proaktif dalam menaikkan populariti pada masa sama meningkatkan kualiti pasukan mereka sehingga kini mereka boleh dikatakan antara gergasi di Asia Tenggara di samping mendapat pelbagai penajaan besar.
Untuk menjadi sebuah pasukan yang dikenali serantau, pasukan itu sendiri perlu bersikap terbuka dan aktif untuk berinteraksi dengan media dan juga penyokong supaya nama pasukan sentiasa disebut-sebut.
Tak guna jika hanya bersandarkan legasi dan sejarah kerana ia tidak akan membantu untuk menaikkan imej pasukan dan orang akan bercakap: ‘pasukan mana ni? Tak kenal pun? Bagus sangat ke? Bila kali terakhir menang liga atau piala?’.
Lihat apa yang dilakukan oleh JDT dan contohi mereka. Walaupun ramai yang sering ‘mengutuk’ JDT ia tidak memberi kesan langsung, sebaliknya mereka mendapat publisiti secara percuma apabila orang sentiasa bercakap mengenai mereka. Mereka hanya membalas kutukan pembenci dengan kejayaan demi kejayaan.
Diharap lebih banyak pasukan di Liga Malaysia akan bersikap lebih terbuka terutamanya dengan media dan penyokong kerana pihak pengurusan bola sepak perlu sedar satu perkara iaitu tanpa media dan penyokong sesebuah pasukan bola sepak tidak akan dapat bertahan.